Kedah Buru Gol, Kemenangan Aksi Separuh Akhir Pertama Di Jengka


ALOR SETAR - Pasukan Kedah akan berangkat ke Jengka, Pahang bagi menentang Felda United dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia dalam misi memburu sebanyak mungkin gol sebelum perlawanan kedua di Stadium Darul Aman.

Menurut Ketua Jurulatihnya, Mohd Nidzam Adzha Yusuf, skuad Helang Merah telah bersiap sedia dan melakukan persiapan terbaik memburu kemenangan bertemu Felda United, walaupun bulan lalu Kedah tewas dalam perlawanan Liga Super bertemu skuad yang sama.

Nidzam yang mengakui pasukan lawan mempunyai kekuatan tersendiri, namun itu tidak memberikan halangan pada  skuad Kedah untuk mempamerkan aksi terbaik.

"Ketika menentang Felda dalam Liga Super, keadaan pasukan kita sedikit berbeza kerana kita menggunakan pemain simpanan berikutan kecederaan beberapa pemain.

"Tetapi sekarang semuanya kembali pulih dan kita telah membuat persiapan lebih baik untuk memastikan tidak kecewa di Jengka.

"Saya yakin dengan kemampuan pemain walaupun Felda menunjukkan perkembangan positif sejak akhir-akhir ini.

"Pemain juga tahu bertapa pentingnya kemenangan dalam perlawanan ini untuk kita sekali lagi ke perlawanan akhir nanti," katanya yang dipetik dari Mstar Online.

Nidzam juga memberitahu, kesemua pemain berada dalam kondisi baik kecuali Syawal Nordin yang mendapat kecederaan ketika melakukan latihan.

Walaupun kesebelasan utama dalam keadaan baik dan bersedia, skuad Hijau Kuning masih juga memerlukan sokongan peminat untuk membakar semangat sepanjang perlawanan itu nanti.

Hal ini terbukti dalam perlawanan sebelum ini apabila pemain berjuang habis-habisan selepas mendapat sorakan semangat dari penyokong yang hadir. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com