Kawal Obesiti Dalam Kalangan Murid


UJIAN Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK) yang dilaksana di Johor sejak 2010, berjaya membantu mengawal selia kadar obesiti dalam kalangan murid dan pelajar.

Timbalan Pengarah Pendidikan Johor Azman Adnan berkata, mekanisme digunakan membolehkan murid dan pelajar mengambil ujian kecergasan dan berat badan seimbang (BMI) dua kali setiap tahun.

"Data daripada BMI ini akan digunakan oleh pihak sekolah untuk melaksanakan langkah sesuai supaya murid berlebihan berat badan dapat diuruskan.

"Di sekolah banyak aktiviti yang dilaksanakan antaranya kempen dari segi pemakanan supaya mereka mengelakkan daripada makanan berminyak dan sebagainya yang diuruskan Sektor Pembangunan Kemanusiaan (SPK)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Unit SPK Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) di Dewan Jauhar, semalam.

Hadir sama, Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Yasman Jamsir.

Terdahulu, seramai 10 guru menerima Anugerah Jurulatih Aktif, Anugerah Kokurikulum Daerah Cemerlang, Anugerah Asrama Terbilang dan Ikon Asrama.

Azman berkata, paling membanggakan, isu kegemukan bukan menjadi permasalahan besar kepada murid dan pelajar berikutan pelbagai program disusun baik di peringkat JPN, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mahupun sekolah.

"Ini termasuk aktiviti berbentuk senamrobik yang diadakan di sekolah pada hari-hari tertentu.

"Data yang dikumpulkan dalam ujian SEGAK akan dikongsikan bersama murid dan ibu bapa dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)," katanya.

Beliau berkata, ia penting kerana pendekatan menurunkan obesiti dalam kalangan murid bukan saja diuruskan guru dan sekolah tetapi ibu bapa ketika di rumah.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com