Kastam Thai Rampas Sumbu Badak Bernilai 10 Juta Baht Di Suvarnabhumi


BANGKOK - Kastam Thai menahan dua rakyat China di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di sini dan merampas lapan sumbu badak bernilai 10 juta Baht (RM1.3 juta) daripada bagasi mereka.

Kedua-dua lelaki itu ditahan pada pukul 6.30 petang Selasa semasa transit di lapangan terbang itu selepas tiba dari Zambia dengan menaiki penerbangan Ethiopian Airlines.

"Mereka sepatutnya meneruskan penerbangan ke Kemboja dengan Thai Airways selepas transit di Suvarnabhumi sebelum bagasi mereka yang mengandungi barangan terlarang dikesan," kata Kastam Thai dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Lapan sumbu badak yang dirampas semalam adalah seberat 6.2 kg.

Menurut kenyataan itu, pihak kastam di Lapangan Terbang Suvarnabhumi telah merampas 38 sumbu badak bernilai 204 juta Baht (RM20.5 juta) sejak 2014.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com