Kassim Ahmad Pesan Anak-Anak Amalkan Al-Quran


ALOR SETAR - Sarjana kontroversi Kassim Ahmad, 84, yang meninggal dunia semalam berpesan pada anak-anaknya agar berpegang teguh pada agama Islam yang sebenar dengan berpandukan al-Quran.

Menurut anak kedua Allahyarham, Ah­mad Shauqi Kassim, 50, bapanya sentiasa memberi na­sihat tentang kehidupan.

“Pada masa sama, beliau mahukan keadilan buatnya diperjuangkan kerana berasakan pernah dilayan secara tidak adil oleh pihak tertentu sebelum ini,” katanya kepada pemberita di rumahnya di sini semalam.

Kassim meninggal dunia di Hospital Kulim jam 10 pagi semalam selepas koma selama hampir 30 jam akibat masalah berkaitan paru-paru dan pernafasan.

Dalam satu kenyataan, kesihatan Kassim dikatakan semakain merosot selepas terheret untuk kes di Mahkamah Syariah dan mahkamah sivil.

Aktivis itu kali pertama dima­sukkan ke hospital 16 September lalu bagi mendapatkan rawatan untuk jangkitan paru-paru dan injap jantung tersumbat sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Namun begitu, Kassim Ahmad sekali lagi dimasukkan ke hos­pital beberapa hari lalu selepas keadaannya yang membimbangkan sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Jenazah Kassim dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda Jalan Kilang Lama selepas solat isyak semalam.

Terdahulu, Allahyarham terke­nal dengan karya ‘Ha­dis: Satu Penilaian Semula’, sebuah kajian kritikal ke atas kewibawaan hadis sebagai sumber Islam dan buku itu diha­ramkan kerajaan pada 1986 selain menyebabkan beliau dilabelkan sebagai antihadis.

Pada seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian - Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia Untuk 30 Tahun Akan Datang pada 2014, beliau mendakwa golongan ulama mengawal Islam di Malaysia sama seperti sistem kepaderian dan mempersoalkan penggunaan hadis untuk me­nerangkan ajaran al-Quran.

Di bidang sastera, beliau antara sosok penting yang terlibat dengan politik sastera Islam sekitar 80-an dengan Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad, selain terkenal dengan puisi-puisi yang malar segar.

Di bidang akademik pula, beliau menjadi sarjana tampil dengan pandangan mengejutkan bahawa Hang Jebat seorang wira sebenar Melayu berbanding Hang Tuah. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com