Karnival Asyura Di Langkawi Di Sambut Meriah


ALOR SETAR - Karnival Asyura sempena sambutan Maal Hijrah 1439 telah dianjurkan bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Persatuan Homestay Malaysia di sambut meriah.

Program yang berlangsung di tapak parkir LADA itu turut mendapat penyertaan lebih 300 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan(NGO) yeng bekerjasama bergotong royong menyediakan 50 kawah bubur asyura, semalam.

Karnival tersebut dimulakan sekitar jam 8 pagi oleh peserta bagi menyediakan bubur asyura dengan pelbagai resepi tersendiri daripada agensi masing-masing sebelum diedarkan pada orang ramai sekitar jam 12 tengah hari.

Perasmian karnival tersebut telah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Noordin.

Turut hadir sama ialah Pegawai Daerah Langkawi, Isahak Murat.

Menurut Azizan, selain menyemarakkan kedatangan bulan Muharam dan tahun baru kalendar Islam, karnival berkenaan juga bertujuan mengeratkan silatulrahim sesama jabatan dan NGO di pulau itu serta memperkenalkan menu berkenaan kepada pelancong dalam dan luar negara.

"Ini juga memberi peluang kepada pelancong yang berkunjung ke pulau ini untuk turut serta dalam karnival ini bagi menimba pengalaman baharu dan merasai aktiviti masyarakat tempatan.

"Pelancong gemar pada perkara unik dan bubur asyura adalah makanan tradisional istimewa yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

"Kemungkinan karnival ini diadakan setiap tahun dan lebih besar lagi pada tahun depan," kataya pada sidang media yang dipetik dari MyMetro.

Antara jabatan kerajaan yang mengambil bahagian termasuk Amanah Ikhtiar Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia,Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Pejabat Tanah Daerah Langkawi, Pejabat Daerah Langkawi dan LADA selaku tuan rumah.

Malah, karnival yang berlangsung sehingga jam 5 petang itu turut dimeriahkan dengan aktiviti 'Durian Fest' turut membolehkan orang ramai memakan durian sampai puas dengan bayaran minimum.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com