Kanak-Kanak Tiga Tahun Maut Digilis Lori Ikan Di Kepala Batas


KEPALA BATAS - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut digilis lori ikan apabila motosikal bapanya yang diparkir di bahu jalan di sebuah kedai runcit di Jalan Penaga di sini dilanggar lori terbabit tengah hari semalam.

Bapa kanak-kanak itu Roslan Ismail, 44, berkata, anaknya Muhammad Amar Danish maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

"Kami baru tiba di kedai runcit untuk membeli peralatan mesin rumput. Ketika saya nak turunkan anak saya yang duduk di dalam raga motosikal saya, tiba-tiba sebuah lori melanggar motosikal saya menyebabkan kami berdua terjatuh.

"Anak saya terjatuh ke atas jalan raya sebelum digilis tayar belakang lori berkenaan," katanya kepada pemberita di Bilik Mayat Hospital Kepala Batas.

Beliau berkata, pada mulanya beliau tidak mahu membawa anak kelima dari tujuh beradik itu ke kedai, namun anaknya tetap berkeras untuk mengikutnya.

Kira-kira 30 anggota keluarga kanak-kanak itu memenuhi pekarangan bilik mayat tersebut.

Jenazah Muhammad Amar Danish akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Tok Gelam.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Pemangku Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor mengesahkan kejadian itu.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat.

"Kejadian disyaki berlaku apabila sebuah lori dari arah Bakar Kapor, Penaga telah bergesel dengan sebelah kanan motosikal mangsa dan menyebabkan mangsa dan anaknya terjatuh di jalan raya, akibat dari tersangkut pada mesin rumput yang diletakkan di 'carrier' motosikal sehingga mengakibatkan anak mangsa digilis lori tersebut," katanya.- Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com