Kanak-Kanak Seluruh Dunia Bertambah Gemuk


MASALAH obesiti di kalangan kanak-kanak di seluruh dunia bertambah empat kali ganda sejak empat dekad lalu.

Ini bermakna, terdapat lebih 100 juta kanak-kanak dan remaja terlalu gemuk di seluruh dunia.

Analisis dari agensi Lancet melibatkan trend obesiti di lebih 200 negara.

Di Britain sendiri, satu dari 10 belia berumur lima hingga 19 tahun mengalami obesiti.

Umum tahu bahawa kanak-kanak dan remaja obesiti lebih cenderung membesar menjadi golongan dewasa dengan obesiti.

Analisis yang didedahkan sempena Hari Obesiti Sedunia memaksa penyelidik dari Lembaga Obesiti Dunia memberi amaran tentang kos rawatan obesiti yang dijangka meningkat.

Obesiti adalah normal baharu

Walaupun kadar obesiti kanak-kanak di paras stabil di negara-negara berpendapatan tinggi Eropah, kadar tersebut bertambah dengan jumlah mengejutkan di negara-negara lain, kata ketua penyelidik dari Imperial College London, Prof Majid Ezzati.

Penyelidik percaya bahawa promosi makanan yang menggemukkan dan mudah didapati menyumbang kepada peningkatan kadar obesiti.

Negara yang terlibat dengan peningkatan obesiti di kalangan kanak-kanak dan beliawan datang dari Timur Asia. Kadar obesiti di China dan India pula meningkat pada kadar membimbangkan.

Penyelidik berpendapat, obesiti akan menjadi 'lebih normal' dari masalah kurang berat badan jika trend ini berterusan.

Kebetulan, jumlah kanak-kanak kurang berat badan berkurangan sejak tahun 2000.

Pada 2016, sejumlah 192 juta kanak-kanak dan remaja didapati kekurangan berat badan.

Pada tahun sama, 213 juta kanak-kanak dan belia didapati gemuk tetapi masih belum dikategorikan sebagai mengalami obesiti.

Penyelidik, Dr Harry Rutter memberi amaran ianya adalah satu masalah besar yang hanya akan menjadi lebih teruk.

"Kita bukanlah menjadi lemah semangat, malas atau gelojoh. Realitinya dunia di sekeliling kita sedang berubah," kata Dr Harry.

Dr Fiona Bull dari Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) menggesa tindakan tegas untuk mengurangkan makanan penuh kalori dan kurang nutrien, selain menyokong lebih banyak aktiviti fizikal.

Ketika ini, terdapat lebih 20 negara seluruh dunia mengenakan cukai terhadap minuman bergula.

"Program mengurangkan minuman bergula kami terbaik di seluruh dunia, tapi ini baru permulaan untuk satu perjalanan jauh dalam usaha membasmi cabaran terhadap generasi kini," kata Dr Alison Tedstone dari Public Health England.

"Pendidikan dan maklumat mengenai obesiti adalah penting, tetapi tindakan lebih tegas diperlukan untuk pemakanan berkalori rendah dan mencapai diet yang lebih sihat," jelas Dr Alison.

Sumber –  Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com