Kanak-Kanak Melecur Terkena Tomyam: Pemilik Restoran Nafi Campak Duit RM200


KUANTAN - Pengurus Restoran Sara Thai cawangan Balok menafikan berlaku insiden mencampak duit RM200 selepas seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun terkena tomyam sehingga menyebabkan tengkuknya melecur malam tadi.

Mohd Zanafi Wahab,39, berkata, pihaknya kesal dengan kejadian yang tidak disengajakan itu dan tampil memohon maaf.

Katanya, keluarga itu kelihatan tergesa-gesa dan mungkin disebabkan keadaan tersebut ia nampak seperti dia mencampak duit.

Katanya, dia terkejut dan mendakwa ada fakta tidak benar sekali gus memburukkan imej restoran yang sudah enam tahun beroperasi.

"Saya sebenarnya tidak nampak kejadian sup tom yam tumpah pada kanak-kanak berkenaaan kerana keadaan terlalu sibuk ketika itu cuma sedar apabila keluarga berkenaan bergegas hendak pulang.

"Saya tanya apa yang terjadi dan mereka mengatakan seorang daripada anak mereka terkena tomyam dan saya ada cuba meminta maaf dengan menghulurkan tangan dan memberi RM200 untuk rawatan di klinik tetapi seolah-olah tidak diendahkan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sehubungan itu, dia berharap isu itu tidak dipanjangkan dan berhasrat untuk menemui keluarga kepada kanak-kanak berkenaan bagi memohon maaf secara peribadi serta meleraikan segala kekeliruan.

Sumber: Kosmo

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com