Kanak-Kanak Di Sik Dikesan Hidap Kanser Tulang Selepas Jatuh


ALOR SETAR - Sorang kanak-kanak lelaki Muhammad Faris Zaquan Mohd Makhruzi, 6, disahkan menghidap kanser tulang selepas terjatuh ketika bermain.

Menurut ibunya, Nor Syuhaida Yahya, 29, dari Kampung Hujung Bandar, Sik, paha kanan anak tunggalnya didapati membengkak kira-kira dua bulan lalu.

"Pahanya membengkak dan langsung tak boleh berjalan. Bila tanya dia kata sebab jatuh lepas main dengan kawan-kawan.

"Bila hantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani doktor sahkan dia diserang kanser tulang," Katanya yang dipetik dari Sinar Online.

Mengulas lanjut, Nor Syuhaida berkata, sebulan sebelum kejadian anaknya sudah berjalan dalam keadaan tidak stabil dan terhinjut-hinjut.

"Sebulan sebelum kejadian anak dah jalan terhinjut-hinjut dan dia kata sakit paha. Tapi waktu tu ingatkan sakit biasa," ujarnya.

Nor Syuhaida yang seorang suri rumah berkata, suaminya, Mohd Makhruzi Ya'akop,33, punyai pendapatan bulanan yang tidak menentu dan mereka juga belum membuat sebarang permohonan kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Sik atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sik kerana tidak tahu prosedurnya.

"Kos rawatan ditanggung guna hasil upah kerja suami saya. Selain kos rawatan, kami juga kena sediakan lampin pakai buang, susu dan keperluan lain. Sebulan adalah dalam RM300," katanya pada pemberita.

Tambahnya lagi, sebelum ini pada 14 September dan 5 Oktober, Muhammad Faris telah menjalani pembedahan di paha kiri bagi rawatan tisu tulang termasuk kemoterapi pertama.

Atas nasihat doktor, persekolahan Muhammad Faris terpaksa ditangguhkan bermula hujung Ogos lalu.

“Doktor nasihat supaya tangguh sekolah dan tak benarkan anak banyak bergerak sebab bimbang tulang rapuh. Dia juga kena pakai topeng di dalam dan luar rumah sebab tak boleh kena asap rokok, sampah serta kenderaan,” ujarnya.

Untuk bantuan boleh hubungi  kanak-kanak berkenaan di 019-4376205 atau salurkan sumbangan menerusi Hong Leong Bank di nombor akaun 044-51-11992-4 atas nama Mohd Makhruzi Ya' akop. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com