Kalahkan Hong Kong, Habuan RM30,000 Menanti


KUALA LUMPUR - Habuan lumayan RM30,000 menanti pemain Harimau Malaya sekiranya berjaya mengalahkan Hong Kong dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hong Kong, hari ini.

Ganjaran tersebut diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi persidangan video bersama jurulatih kebangsaan, Nelo Vingada dan barisan pemain semalam.

Menurut Tunku Ismail, beliau mahu mempamerkan aksi terbaik mereka dalam perlawanan tersebut, sekali gus menutup segala kritikan yang dilemparkan kepada skuad kebangsaan apabila gagal melakar kemenangan dalam empat perlawanan terakhir sejak dibimbing jurulatih baharu dari Portugal, Vingada, Jun lalu.

“Anda semua perlu lakukan yang terbaik kerana menang atau kalah itu perkara kedua. Paling penting mata manusia tak boleh menipu. Kalau seluruh rakyat Malaysia termasuk saya nampak pemain beri 110 peratus, kalah menang kita puas hati.

“Saya yakin anda boleh lakukan yang terbaik, kalau menang perlawanan ini, bonus RM30,000,” katanya.

Skuad bimbingan Vingada perlu menumpaskan Hong Kong selepas seri 1-1 di Melaka (5 September) bagi menghidupkan peluang dalam aksi kelayakan Kumpulan B.

Malaysia sebelum itu turut tumpas 1-2 kepada Lebanon dalam perlawanan pembukaan di Larkin pada 13 Jun untuk meletakkan mereka di tangga tercorot dengan satu mata.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com