Kahwin Wanita Rohingya, Lelaki Dhaka Diburu Polis


DHAKA - Polis semalam memburu seorang lelaki yang melanggar larangan mengahwini seorang pelarian wanita Rohingya sebelum menghilangkan diri bersama isteri barunya itu.

Shoaib Hossain Jewel, 25, dan isterinya Rafiza, 18, menghilangkan diri sejak perkahwinan mereka bulan lalu, kata polis di Singair.

Ketua Polis Singair, Khandaker Imam Hossain berkata: “Kami dimaklumkan dia mengahwini wanita Rohingya. Kami mencarinya di rumahnya di Charigram tetapi tidak menemuinya dan ibu bapanya juga mendakwa tidak tahu di mana dia berada.”

Dhaka pada 2014 mengharamkan perkahwinan antara rakyatnya dengan golongan Rohingya dari Myanmar kerana bimbang ia digunakan sebagai cara golongan itu mendapat kerakyatan di Bangladesh.

Sementara itu, bapa Shoaib, Babul Hossain menegaskan anaknya berkahwin dengan Rafiza atas dasar cinta dan tiada kaitan dengan isu kerakyatan.

“Kalau Muslim Bangladesh boleh berkahwin orang Kristian atau agama lain, apa salahnya untuk anak saya mengahwini wanita Rohingya?

“Dia berkahwin dengan Muslimah yang kebetulan berlindung di Bangladesh.”

Sementara itu, akhbar Dhaka Tribune melaporkan Shoaib, seorang guru di sebuah sekolah agama, jatuh cinta dengan Rafiza yang berlindung di rumah seorang imam bersama keluarganya selepas melarikan diri dari negara asal.

Polis bagaimanapun melakukan serbuan terhadap rumah orang yang melindungi golongan itu menyebabkan Rafiza sekeluarga terpaksa berpindah semula ke kem pelarian utama di Cox’s Bazar.

Shoaib yang mabuk cinta bergegas ke Cox’s Bazar dan pergi ke setiap khemah satu-persatu mencari kekasihnya. Sebaik menemui Rafiza dia terus meminta izin ibu bapanya untuk bernikah.

Perkahwinan mereka di Cox’s Bazar itu yang pertama antara rakyat tempatan dengan pelarian Rohingya sejak pertempuran terbaru di Myanmar yang tercetus pada 25 Ogos lalu, lapor akhbar itu.- AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com