Kadir Jasin Dijangka Ganti Mat Sabu Bertanding Di Parlimen Pendang?


ALOR SETAR - Susulan dari Parti Amanah Negara (PAN) yang dijangka bakal mencalonkan Presidennya, Mohamad Sabu di Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, kerusi Parlimen Pendang dijangka bakal ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Desas-desus mendakwa bahawa Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Dato' A Kadir Jasin, berkemungkinan besar akan dicalonkan di kerusi "panas" yang sebelum ini ditandingi Mohamad pada PRU yang lalu.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu yang ketika itu mewakili PAS telah tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Othman Abdul, dengan majoriti 2,638 pada PRU ke-13.

Pendang dikatakan menjadi kubu kuat PAS khususnya Dewan Undangan Negeri (Dun) Tokai yang terletak di dalam parlimen itu menjadi penyumbang utama kepada PAS.

Parlimen itu juga pernah menyaksikan kemenangan bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadhil Noor dan penyandangnya Dr Hayati Othman yang memenangi kerusi itu pada PRU ke-12, sebelum ditandingi Mat Sabu.

Kadir dikatakan akan bertanding di parlimen tersebut mengambil kira pada asal-usul beliau sebagai "anak Pendang" yang dilahirkan di daerah itu meskipun difahamkan lebih banyak masa hidupnya dihabiskan di ibu negara.

Bekas wartawan tersebut juga dikatakan bakal dibantu oleh Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) merangkap Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan dan PPBM di peringkat nasional.

Pada PRU yang lalu, Mahathir turun berkempen di parlimen Pendang menggesa para pengundi di situ supaya tidak memberikan undi kepada Mat Sabu atas beberapa alasan.

"Dulu dia (Mat Sabu) macam-macam cakap dekat Anwar. Dia kata Anwar kotor sangat tapi kali ini dia sembah, sayang dan peluk Anwar serta sokong PKR. Mat Sabu juga kawan dengan Datuk S. Ambiga (Pengerusi Bersih)...

"Orang jenis ini tak pernah kenang budi. Kita tolong dia, dia gigit balik lepas tu. Dia datang di kawasan ini dan akan ajar anak-anak kita di sini untuk tak ucap terima kasih kepada orang yang menolong mereka," kata Mahathir ketika itu.

Sekiranya Kadir bakal dicalonkan di parlimen Pendang, beliau dijangka bakal berentap dengan bekas calon PAS yang juga dijangka bakal dicalonkan semula, Dr Hayati, dan penyandang kerusi parlimen itu, Othman. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com