Kacau Keharmonian Kaum, PCM Cadangkan Supaya DAP Diharamkan


DAP perlu diharamkan dan diambil tindakan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum ia merosakkan suasana harmoni masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan membuat cadangan itu kerana DAP dilihat sering menjadi ‘kaki buat kacau’ yang dibimbangi boleh mencetuskan perbalahan di kalangan rakyat.

"DAP ini kerja dia hanya tanam kebencian pada masyarakat, hasut rakyat," kata Cheng Guan yang diundang berucap di pentas program Fastaqim 2.0 anjuran PAS di Pantai Tok Jembal di Kuala Nerus Terengganu kelmarin.


Menurut Cheng Guan  sepanjang sembilan tahun DAP memerintah Pulau Pinang, parti itu hanya membawa kesengsaraan kepada rakyat.

"Sepanjang sembilan tahun mereka perintah Pulau Pinang, tarif air sudah empat kali naik, sewa kedai pun naik 100 peratus, rumah dibina pun bukan mampu milik, tetapi mampu tengok sahaja, tanah pula habis dijual," katanya.

Beliau bimbang, jika DAP diberi peluang memerintah Pulau Pinang dua tahun lagi, pasir dan pokok pun mereka akan  jual.

Apa yang diingini oleh DAP bukan kuasa untuk memerintah dan berkhidmat kepada rakyat, tetapi hanya untuk kepentingan parti dan individu yang tamakkan jawatan.

"DAP ini kerjasama dengan kaki 'u-turn' (pusingan U) sahaja. Pemimpin mereka pun (DAP) didakwa di mahkamah kerana rasuah, macam mana nak jadi pemimpin negara," katanya.

Sementara itu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula sudah hilang kepercayaan kepada  Pakatan Harapan (PH) yang diketuai DAP dan sudah serik ditipu pemimpin mereka.

Bekas Setiausaha Agung PSM, S. Arulchelvan yang dipetik daripada MalaysiaGazette kelmarin berkata, PH selama ini memberikan harapan palsu berhubung rundingan parti itu untuk menyertai gabungan pembangkang itu namun ia satu pembohongan semata-mata.

“Satu pembohongan bahawa PSM masih berunding untuk masuk PH. PH sebenarnya tidak menjemput PSM dan tidak pernah memanggil untuk rundingan setakat ini.

“Ada juga desakan supaya PSM menyertai Pakatan Rakyat (PR) pada tahun 2008, ada pandangan pemimpin mereka ketika itu kenapa PSM tak sertai PR. PSM pernah memohon masuk PR.

“Selama tiga tahun, kita telah menulis banyak surat menyatakan kita nak berunding tentang kerusi, kita hanya nak bertanding empat kerusi saja. Malangnya PR tidak panggil mesyuarat hingga dibubarkan,” katanya di sini semalam. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com