Jong-Nam: Perbicaraan Hari Kedua Masih Jadi Tumpuan Media


SHAH ALAM - Perbicaraan hari kedua, dua suspek wanita yang menghadapi pertuduhan membunuh Kim Chol atau Kim Jong-nam di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini terus menjadi tumpuan pengamal media tempatan dan asing.

Lebih 10 agensi pengamal media asing, antaranya dari Korea Selatan, Korea Utara, Indonesia dan Jepun, mendaftar di kaunter masuk khas di pekarangan kompleks mahkamah itu yang dikawal Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Turut mendaftar adalah pelbagai agensi pengamal media tempatan di kaunter sama sejak jaml 7.30 pagi.

Kedua-dua suspek iaitu warga Indonesia Siti Aisyah, 25 dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, tiba di mahkamah kira-kira jam 7.50 pagi, dengan kawalan ketat lima kereta polis yang lengkap bersenjata dan berpakaian kalis peluru.

Pekarangan kompleks mahkamah itu turut dikawal ketat pihak polis bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Siti Aisyah dan Doan dituduh bersama empat yang lain yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Februari lalu.

Jong-nam adalah abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Pada 28 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Azmi Ariffin menetapkan 23 hari bermula semalam sehingga 30 November bagi perbicaraan kes. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com