JKJR Kedah Agih 300 Topi Keledar Percuma


ALOR SETAR – Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kedah mengambil telah mengagihkan 300 unit topi keledar secara percuma kepada penunggang dan pembonceng motosikal di negeri ini sejak Januari lalu hingga sekarang.

Pengarahnya Chan Kei Hong (She) berkata pengagihan itu bagi menggantikan topi keledar lama yang tidak selamat lagi digunakan oleh mereka selain topi keledar yang tidak menepati syarat SIRIM menyebabkan mereka terdedah kepada kecederaan sekiranya berlaku kemalangan.

“Jumlah 300 unit berkurangan berbanding 450 unit yang kami agihkan dalam tempoh sama tahun lepas kerana kita dapati penunggang dan pembonceng motosikal mula sedar tentang kepentingan memakai topi keledar yang mengikut spesifikasi yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya di hadapan Stadium Darul Aman di sini semalam yang turut mendapat kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan dan Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) Kedah sempena perayaan Deepavali.

Selain itu, Chan berkata JKJR juga sentiasa menjalankan program advokasi dalam usaha memberikan kesedaran kepada penunggang dan pembonceng motosikal tentang kepentingan menjaga keselamatan termasuk keperluan memakai topi keledar.

Dalam pada itu, Chan mengingatkan pengguna jalan raya supaya tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu kenderaan mahupun menunggang motosikal bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com