Jika PAS Sudah Kuat, Kenapa Bimbang?


PAS bimbang dengan kenyataan berulang-kali oleh pelbagai pihak tentang kemungkinan berlaku kerjasama antara PAS dan UMNO.

Jika PAS begitu yakin parti itu kini kembali kuat selepas berlaku perpecahan, kenapa ia perlu bimbang?

Bukankah kerjasama sesama umat dan berbaik antara manusia itu juga tuntutan Islam yang disebut dalam al-Quran?

PAS bimbang masyarakat akan keliru dengan kenyataan yang diulang berkali-kali oleh pihak tertentu bahawa parti itu akan bekerjasama dengan UMNO.

Sehubngan itu Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berharap pihak tertentu tidak lagi mengeluarkan kenyataan mengaitkan hubungan antara PAS dan UMNO kononnya dilihat semakin cerah.

"Kalau ia diulang akan menimbulkan kekeliruan pada masyarakat di bawah. Kita bimbang rakyat tidak faham dan mereka keliru dengan kenyataan-kenyataan sedemikian," ujar beliau yang dipetik daripada Harakahdaily semalam. 

Beliau menegaskan kepemimpinan PAS sebelum ini berulang kali menafikan hubungan kerjasama politik, kecuali yang membabitkan masyarakat dan kepentingan umat Islam sahaja.

Menurutnya, PAS tetap dengan pendirian tidak akan mengadakan kerjasama politik dengan UMNO apa lagi untuk berhadapan PRU 14.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Dr Nasharudin Mat Isa dua hari lalu.

Menurut Nasharudin, kerjasama antara PAS dan UMNO dilihat semakin cerah dan akan memberi manfaat kepada Malaysia sejajar dengan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan.

Nasharudin yang juga bekasTimbalan Presiden PAS bagaimanapu menyatakan PAS dan UMNO tidak perlu bergabung tetapi mengadakan kerjasama demi kestabilan politik dengan mengetepikan perbezaan masing-masing.

Dalam perkembangan yang berkaitan Nasharudin berkata, oleh kerana asas negara dibina berdasarkan prinsip hormat menghormati dan toleransi pelbagai kaum, adalah mustahak bagi semua warganya untuk berusaha menggalakkan semangat muhibah antara satu sama lain.

Sementara itu Fadzil yang juga anggota Exco Kelantan tidak nafikan bentuk kerjasama antara kerajaan dengan kerajaan demi untuk kepentingan rakyat dan umat Islam.

“Ia telah wujud sejak zaman Presdien PAS Allahyarham Datuk Fadhil Mohd Noor dan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi,” ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyatakan  kepimpinan baharu PAS ketika ini dilihat tidak lagi mencari titik perbezaan antara PAS dengan UMNO seperti yang berlaku sejak sekian lama.

Beliau yang juga ahli Parlimen Ketereh yakin kedua-dua parti itu akan menemui titik persamaan yang akan membolehkan kerjasama kukuh terutama membabitkan isu umat Islam dan orang Melayu di negara ini.

“Saya yakin akan terbentuk kerjasama kukuh, tunggulah beberapa bulan atau minggu lagi apabila pilihan raya umum semakin hampir, akan ada pengumuman yang akan memberi manfaat kepada orang Melayu dan Islam," kata Annuar.- Kedahnews.com





  





No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com