Jika Marah Kerajaan, Mahathir Tak Wajar Hina Malaysia


ALOR SETAR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak sewajarnya menghina negara sendiri dengan memberi gelaran yang buruk, meskipun marah terhadap pihak kerajaan hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, tindakan Pengerusi Pakatan Harapan itu jelas menunjukkan beliau tidak memiliki jiwa patriotisme dan bertindak di luar kewarasan politik

"Amat tidak wajar Tun Mahathir menggelarkan Malaysia dengan nama seperti itu.  Sebagai bekas PM, gelaran ini tidak patriotik dan di luar dari batas kewarasan berpolitik. Jikapun marah dengan kerajaan hari ini, Mahathir tidak sepatutnya menghina negara sendiri. 


"Negara ini adalah negara kita bersama. Baik atau buruknya, maju atau mundurnya negara ini, kita perlu bersama mempertahankannya, bukan menghinanya,"  tegur Salleh menerusi catatan terbaru di blog rasminya hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap hinaan yang dilemparkan Mahathir di blognya yang menamakan Malaysia negara "Darul Penyangak".

Mengulas lanjut, Salleh mendakwa kenyataan-kenyataan politik Mahathir yang menyerang pihak kerajaan hanyalah merupakan strategi ahli politik veteran itu untuk mencetus kebencian rakyat terhadap Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Sebenarnya Mahathir mengulang hal 1MDB dan GST ini dalam setiap tulisan dan ucapannya semata-mata supaya rakyat membenci PM Najib dan Najib jatuh. 

"Strategi Mahathir ini adalah seperti menyerang ular, iaitu ketuk kepala ular berulang kali supaya akhirnya ular menjadi lemah dan lumpuh. 

"Itu sahaja yang Mahathir mahu, iaitu menjatuhkan Najib.  Inilah politik dendam yang tidak baik," ulasnya tentang pendekatan dan strategi Mahathir terhadap Najib yang mempergunakan emosi rakyat di negara ini.

Justeru itu, Salleh mengingatkan Mahathir bahawa sebagai bekas Perdana Menteri, menggelar negara ini dengan gelaran yang tidak baik hanya merupakan satu penghinaan kepada negara sendiri.

"Sebagai bekas PM, Mahathir perlu ingat, menggelarkan Malaysia sebagai Darul Penyangak adalah menghina negara sendiri," tegas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com