Jeremy Gan Letak Jawatan Jurulatih Beregu Lelaki


KUALA LUMPUR - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan menerima surat peletakan jawatan jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan, semalam.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan surat peletakan jawatan itu adalah notis selama tiga bulan.

Bagaimanapun Norza tidak memberitahu punca sebenar peletakan jawatan Jeremy.

"Kami menerima surat peletakan jawatannya hari ini. Saya percaya dia memiliki sebab tersendiri. Perkara ini sudah dimaklumkan kepada (Ketua Jurulatih Beregu Lelaki) Cheah Soon Kit.

Kita perlu tunggu dan lihat apakah yang akan dilakukan Soon Kit selepas ini," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini, semalam.

Sebelum ini, Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen turut meletak jawatannya dengan notis enam bulan kepada BAM pada 11 September lalu dengan memberikan alasan peribadi berhubung perkara itu.

Antara sumbangan terbesar Jeremy kepada skuad badminton negara ialah menghadiahkan pingat perak Sukan Olimpik Rio menerusi gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Kini skuad beregu lelaki negara akan terus dikendalikan oleh Soon Kit dan Rosman Razak. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com