Jelajah Perjuangan 4All Penerangan UMNO Tarik Perhatian Rakyat


SIRI Jelajah Perjuangan 4All yang dianjurkan oleh Penerangan UMNO Malaysia berkonsepkan ‘town hall meeting’ mula menarik perhatian rakyat, khususnya di kalangan netizen apabila jumlah yang menonton program secara langsung di media sosial seperti facebook semakin bertambah.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, pendekatan untuk membuat siaran langsung melalui medium media sosial ini bertujuan memudahkan rakyat yang tidak dapat hadir untuk menonton program tersebut secara langsung di mana sahaja mereka berada.

“Program Jelajah Perjuangan 4All ini agak istimewa kerana kita berpeluang untuk berkongsi maklumat dan pandangan dengan lebih luas dan boleh ditonton oleh puluhan ribu rakyat di luar sana melalui sosial media yang ada hari ini.

“Kita dapati orang ramai yang mengikuti siri program jelajah ini telah mencapai belasan ribu pada setiap kali program diadakan. Ini merupakan satu perkembangan yang amat mengembirakan. Kalau dulu biasanya kita bercakap hanya kepada orang yang ada di depan kita saja, tapi sekarang ini apabila kita bercakap, percakapan kita itu akan dikongsikan dengan khalayak yang lebih luas dengan adanya media baru.

“Justeru, pendekatan kita dalam siri Jelajah Perjuangan 4All ini turut menekan soal penyebarannya, perkongsian sebanyak mungkin, bukan hanya dengan penonton yang hadir, tetapi juga orang ramai yang tidak dapat hadir melalui siaran langsung di medium media sosial seperti facebook,” ujarnya.

Tambah beliau, siri Jelajah Perjuangan 4All ini akan diteruskan di mana setakat ini terdapat 15 lagi program yang telah pun ditetapkan tarikh dan tempat berlangsungnya program ini.

“Pada 3 Oktober ini kita akan berada di Balik Pulau, Pulau Pinang, kemudiannya kita akan bergerak ke Kedah, Wilayah Persekutuan, Kelantan, Terengganu dan Sabah. Saya harap program ini dapat dimanfaatkan dan saya sangat gembira apabila penyertaan rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN) dapat turut bersama dalam siri ini, seperti mana hari ini di Johor Bahru.

“Program siri Jelajah Perjuangan 4All di Johor Bahru ini juga sebenarnya telah menyuntik idea kepada Penerangan UMNO Malaysia untuk penambahbaikan di mana program ini tidak boleh hanya eksklusif untuk ahli-ahli UMNO sahaja, tetapi perlu melibatkan parti-parti komponen dan rakyat setempat.

“Saya kira, program di Johor Bahru ini telah menunjukkan kami satu kaedah bagaimana program ini boleh menjadi lebih bermakna lagi, sebagai contoh hari ini kita memperolehi maklumat versi dalaman MCA melalui Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang turut hadir dan berkongsi banyak perkara yang mungkin tidak diketahui oleh rakyat,” jelasnya.

Tambah beliau, program ini juga dirancang untuk diteruskan kepada kira-kira 100 kawasan parlimen di seluruh negara.

“Program ini tidak akan terhenti setakat 15 tempat itu sahaja dan kita merancang untuk mengadakan program ini ke beberapa tempat lagi selepas pembentangan belanjawan tidak lama lagi.

 Kita akan mengadakan program ini tanpa henti pada setiap minggu ke 100 kawasan parlimen di seluruh negara.

“Program ini juga akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa agar ia dapat memberikan manfaat kepada rakyat kerana program ini bukan hanya sekadar untuk kita menyampaikan mesej, tetapi apa yang penting adalah untuk kita merasai denyut nadi rakyat daripada bentuk soalan yang mereka kemukakan kepada ahli panel ketika sesi soal jawab di dalam program ini.

“Saya juga merasa gembira apabila melihat partisipasi daripada penonton yang bertanyakan soalan dan melalui persoalan-persoalan yang diajukan, kita akan dapat mengetahu tentang sebarang kemusyilan atau permasalahan di sesuatu kawasan tersebut,” ujarnya.

Sumber - MediaUMNO

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com