Janji Berita Gembira - PM


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Ra­zak berkata, pembentangan Bajet 2018 akan menjanjikan berita gembira khu­susnya kepada golongan penjawat awam.

Perdana Menteri berkata, beliau akan mengumumkan peruntukan-peruntukan terbaik kepada golo­ngan berkenaan pada Jumaat ini bermula 3.30 petang.

“Seperti yang dijanjikan, saya akan umum berita gembira untuk penjawat awam, 27 Oktober ini pada 3.30 petang #Bajet2018,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Selepas Perdana Menteri memuat naik status menggembirakan rakyat itu, laman sosial beliau dihujani komen-komen daripada pengguna yang meletakkan harapan tinggi selain berterima kasih di atas keprihatinan beliau.

Antaranya, seorang rakan Facebook beliau, Mohd. Haniff Nif mengharapkan pengumuman bonus untuk penjawat awam kali ini dinaikkan sebanyak dua bulan gaji berbanding hanya RM500 sebagaimana dalam peruntukan bajet sebelum ini sejak tujuh tahun lalu.

Perkara sama turut dibangkitkan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sebelum ini yang menuntut kerajaan mempertimbangkan pemberi­an bonus sekurang-kurangnya satu bulan setengah gaji kepada 1.6 juta penjawat awam bagi mengurangkan beban golongan itu yang bergaji rendah untuk menyara kehidupan dengan kenaikan kos sara hidup.

Kesatuan berkenaan juga menuntut kerajaan membina rumah mampu milik untuk penjawat awam berpendapatan rendah pada kadar harga serendah RM80,000 sebuah memandang­kan kebanyakan projek perumahan kerajaan seperti Perumahan Pen­jawat Awam 1Malaysia (PPA1M), skim Perumahan Mam­pu Milik Swasta (MyHome) dan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dijual pada harga RM150,000 yang disifatkan masih tinggi bagi segelintir golongan tersebut.

Menerusi tinjauan cadangan di laman web khas untuk Bajet 2018, antara cadangan yang paling disukai orang ramai ialah meningkatkan elaun kakitangan perkhidmatan awam sebagaimana yang dicadangkan oleh Ravidasan berikutan kos sara hidup rakyat kini telah meningkat.

Richard Samie pula mencadangkan kadar gaji dinaikkan sebanyak 4 peratus mengikut kadar inflasi semasa manakala elaun perumahan ditambah sebanyak RM100.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com