Ingatkan Ular, Rupanya Ikan Linang


KUALA LIPIS  “Mulanya saya sangka ular besar tapi bila diperhatikan, saya nampak ada sirip baru saya sedar ia seekor ikan," kata seorang nelayan darat yang memperoleh ikan linang seberat 12 kilogram (kg), Ahad lalu.

Nelayan berkenaan, Roslan Mohd Yusoh dari Kampung Tanjung Gahai memperoleh ikan sepanjang 1.8 meter itu selepas memasang lukah di Sungai Jelai, Jumaat lalu.

Menurutnya, sudah menjadi rutin setiap hari dia memasang lukah di Sungai Jelai dan datang kembali keesokannya untuk mengambil hasil pelbagai jenis ikan.

"Saya nak datang Sabtu tapi air sungai naik tinggi hingga melimpahi tebing, jadi saya datang Ahad. Masa mula-mula angkat lukah tu saya rasa berat sangat tapi saya gagahkan juga untuk melihat apa yang ada dalam lukah tu.

“Saya terkejut tengok binatang besar seperti ular dan campakkan lukah ke dalam sungai sebab risau  tangan digigit,” katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.

Roslan berkata, dia kemudiannya mengangkat semula lukah berkenaan secara perlahan-lahan dan melihat terdapat sirip di kiri dan kanan selain bintik-bintik seperti ikan linang.

“Bila diperhatikan betul-betul saya nampak ada sirip, baru saya sedar ia seekor ikan. Bulan lepas saya buat pembedahan apendiks jadi saya tak boleh angkat benda berat, jadi saya minta tolong ahli keluarga lain angkat lukah.

“Lepas dinaikkan ikan ke darat saya syukur dan gembira sebab Allah murahkan rezeki saya sekeluarga. Saya dah bincang dengan isteri untuk jual ikan kepada seorang kenalan dan duit jualan akan digunakan untuk keluarga,” katanya.

Roslan yang bekerja sebagai nelayan darat sejak lebih 20 tahun lalu berkata, kejadian itu bukan kali pertama kerana pernah memperoleh ikan besar tiga tahun lalu dan turut berjaya menaikkan ikan kenerak seberat 14 kg. 

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com