IMAN 2.0: Anak Jati Changlun Yakin Buktikan Potensi Bantu Kerajaan Negeri


ALOR SETAR - Anak jati Kampung Darat, Changlun, Mohd Hafizikri Mawardi berjanji untuk cuba memberikan khidmat terbaik sepanjang tempoh enam bulan di pejabat Exco Kerajaan Negeri, Datuk Tajudin Abdullah.

Bertepatan dengan jurusan Sains Komunikasi dan Multimedia di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Zikri yakin beliau mampu membantu tugas-tugas yang digalas oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan itu.

"Saya amat bersyukur dan berterima kasih kerana diberi peluang kepada kami mahasiswa untuk membuktikan potensi berdasarkan apa yang kami pelajar di universiti secara lebih praktikal," kata Zikri ketika ditemubual Kedahnews.com di sini, hari ini.


Meskipun mengakui bakal berdepan cabaran yang bukan mudah, namun anak muda Changlun itu berazam untuk membuktikan kemampuan diri dan menimba pengalaman yang amat berharga.

Menurut Zikri, dia akan mempraktikkan ilmu yang diperoleh dari UniMAPS sebelum ini untuk membantu Exco Kerajaan Negeri itu dalam melaksanakan usaha memberi khidmat bakti kepada rakyat di negeri ini.

"InsyaAllah, saya berazam untuk buktikan kemampuan saya dan memberi sepenuh komitmen kepada Datuk Tajudin dan memberikan khidmat terbaik kepada seluruh rakyat Kedah," ujarnya, teruja untuk pertama kali diberi pendedahan bertugas untuk Kerajaan Negeri.

Tajudin dalam kenyataannya kepada Kedahnews.com turut menzahirkan rasa terima kasih beliau kepada Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah atas program IMAN 2.0 yang dianjurkan untuk kali kedua.

"Program ini membuka peluang kepada mahasiswa untuk merasai sendiri pengalaman yang lebih luas tentang pentadbiran Kerajaan Negeri dalam usaha memberi khidmat terbaik kepada rakyat di negeri ini.


Menurut Tajudin, pemilihan peserta IMAN 2.0 kali ini adalah berdasarkan kepada sistem merit, kebolehan, pencapaian akademik serta kemahiran berkomunikasi, dan penempatan Zikri adalah bertepatan dengan jurusan dan portfolio di pejabat beliau.

"Pemilihan Zikri amat tepat ditempatkan di pejabat saya selaku Exco Penerangan. Saya berharap, Zikri dapat memantapkan lagi usaha kerajaan menjelaskan tentang gerak kerja dan segala aktiviti Kerajaan Negeri kepada rakyat di seluruh Kedah," kata beliau.

Tajudin yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan (Adun) Belantik itu juga berharap agar Zikri dapat menimba pengalaman sebanyak mungkin dalam tempoh bertugas bersamanya selama enam bulan dan yakin anak muda itu mampu memberikan nilai tambah yang positif.

"Jadi saya berharap agar Zikri dapat bersama membantu saya memberikan khidmat kepada rakyat dan dalam masa yang sama dia dapat menimba pengalaman berharga yang saya yakin amat membantunya pada masa yang akan datang.

"Saya yakin, Zikri mampu lakukan tugas-tugas di sini dengan baik," katanya, yakin dengan kemampuan anak muda Kedah itu.

Zikri dan Tajudin berkata demikian kepada Kedahnews.com sejurus selepas Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Bashah menyempurnakan majlis Penempatan dan Penyerahan Watikah Perlantikan Internship Mahasiswa Anak (IMAN 2.0) di sini, lewat petang tadi.


Program IMAN pertama kali diilhamkan oleh Ahmad Bashah dan diumumkan pada sambutan 100 hari pentadbiran beliau selaku Menteri Besar yang menyaksikan sambutan yang sangat menggalakkan dari kalangan mahasiswa anak negeri Kedah.

Menteri Besar itu hari ini menyempurnakan majlis penyerahan watikah Program IMAN 2.0 menyaksikan penyertaan dua kali ganda seramai 50 peserta berbanding program sebelum ini yang hanya melibatkan seramai 25 orang mahasiswa sahaja. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com