Iktibar Namrud, Firaun: Mahathir Patut Rasa Bertuah Didakwah Presiden PAS


ALOR SETAR - Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak wajar tersinggung dengan dakwah Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang, supaya bertaubat atas segala "dosa"nya yang lalu.

Kolumnis laman media rasmi PAS, Subky Latif dalam tulisannya menukilkan bahawa bekas Perdana Menteri itu cukup bertuah kerana masih lagi ada yang sudi menegur dan berdakwah supaya bertaubat serta kembali ke jalan Allah.

Subky Latif
"Lebih dari sekali Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang menyeru Dr. Mahathir supaya bertaubat dalam masa beberapa bulan belakangan ini.

"Memandangkan maksiat Namrud dan Firaun adalah begitu besar, bahkan Firaun mengaku dirinya tuhan, satu maksiat yang iblis tak sanggup lakukan, eloknya tidak perlu Nabi Ibrahim dan Nabi Musa menemui mereka mintanya berhenti menentang Allah dan menerima Allah sebagai Tuhan Yang Esa

"Mahathir pula boleh dikira bertuah, kerana ada orang yang sedia mengingatkannya supaya bertaubat dan dengan bertaubat itu jika diperkenan Allah, nescaya menjadikan Mahathir orang yang bahagia di dunia dan bahagia di akhirat," tulis Subky, memetik Harakahdaily.

Abdul Hadi sebelum ini menggesa supaya Mahathir bertaubat ekoran tindakannya berhubung isu Memali pada tahun 1985 yang mencetus kontroversi khususnya di kalangan rakyat Kedah.

Selain itu, Presiden PAS itu juga dalam gesaannya yang terbaru meminta Pengerusi PPBM itu supaya bertaubat atas segala kesilapan pentadbiran sepanjang 22 tahun yang lalu, namun tidak memberi perincian berkenaan tindakan-tindakan bekas Perdana Menteri tersebut.

Mahathir juga sebelum ini bertali arus menyerang kepimpinan PAS ekoran keputusan parti itu yang enggan menjalin kerjasama politik bersama Pakatan Harapan yang begitu kuat dipengaruhi DAP.

Meskipun PAS menjelaskan sebab utama tentang penolakan kerjasama susulan rasa serik atas apa yang berlaku ketika bersama Pakatan Rakyat dulu sehingga memecah-belahkan PAS, alasan tersebut seolah tidak dipedulikan Mahathir.

PAS kemudian nekad membentuk blok ketiga bersama Parti Ikatan dengan menubuhkan Gagasan Sejahtera dan berikrar untuk menentang penguasaan DAP yang dianggap sangat merbahaya di persada politik negara.

Namun begitu, DAP mendapat sokongan kuat daripada PPBM, Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR yang menjadi sekutu mereka di dalam Pakatan Harapan, serta membuat keputusan untuk tidak menerima PAS di dalam gabungan parti politik pembangkang tersebut. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com