Ibu Tinggal 4 Anak Di Rumah, Pergi Melancong 11 Hari


Johnston, Amerika Syarikat - Seorang wanita didakwa kerana membahayakan kanak-kanak selepas meninggalkan empat anaknya di rumah untuk pergi bercuti di Eropah selama 11 hari, kata polis kelmarin.

Erin Lee Macke, 30, melancong ke Jerman pada 20 September lalu tanpa menguruskan jagaan untuk dua anaknya yang berusia 12 tahun dan dua lagi berusia enam dan tujuh tahun.

Jurucakap polis Johnston, Janet Wilwerding berkata, Erin turut meletakkan pistol miliknya bersama peluru di rak buku.

“Kami melihat banyak kali ibu bapa meninggalkan anak mereka untuk pergi ke mana-mana tetapi pergi ke luar negara adalah sangat luar biasa,” katanya.

Erin dilaporkan bercuti dengan seorang rakannya dan dia juga turut memuat naik gambarnya di Jerman di laman sosial.

Tindakan Erin meninggalkan anaknya turut dikecam di media sehingga dia digelar ‘ibu paling teruk di Amerika’.

Polis menemui kanak-kanak itu bersendirian di rumah pada 21 September lalu susulan aduan bekas suaminya sebelum menghubungi wanita itu dan mengarahkannya pulang.

Wanita itu memberitahu polis, dia mengambil keputusan meninggalkan anaknya di rumah kerana gagal mendapatkan penjaga budak untuk menjaga mereka.

Erin ditahan pada Khamis lalu selepas pulang dari Jerman dan didakwa atas empat tuduhan membahayakan kanak-kanak.

Wanita itu dilaporkan ditahan di dalam penjara kerana belum membayar ikat jamin berjumlah AS$9,000 (RM38,000).

Pihak berkuasa juga menyerahkan penjagaan semua anak wanita itu kepada saudara terdekatnya.

 Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com