Himpunan Rakyat Pakatan Harapan, " Opera DAP" Tutup Kemelut Politik Pembangkang


HIMPUNAN Rakyat yang dianjurkan oleh Pakatan Harapan di Petaling Jaya Sabtu esok yang antara tujuannya untuk melawan rasuah, disifatkan satu lagi sandiwara politik parti pembangkang.

Bagi Pakatan Harapan, parti  mereka mahu menonjolkan parti itu sebagai juara menentang rasuah di negara ini sedangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang giat memerangani gelaja rasuah. 

Beberapa tangkapan dan dakwaan terhadap kenamaan, ketua jabatan, tokoh krporat dan pemimpin politik termasuk daripada UMNO membuktikan kerajaan cukup serius untuk mencegah perbuatan rasuah dan penyelewengan.

Perhimpunan untuk memerangi rasuah anjuran Pakatan Harapan itu sebenarnya 'menikam' kembali parti pembangkang yang menolak pelawaan SPRM baru-baru ini untuk menapis calon-calon sebelum  bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14. 

Program itu secara tidak langsung menyindir Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang sedang menghadapi tuduhan rasuah di mahkamah tinggi Pulau Pinang tetapi masih belum bercuti atau meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Di samping itu perhimpunan itu turu memberikan ingatan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali  bahawa hanya negeri Selangor masih  belum  menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang dilaksanakan oleh SPRM.

Selangor merupakan satu-satunya negeri yang belum menandatangani ikrar bebas rasuah itu.  
       
Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail berkata,  semua orang tahu apa yang sedang dihadapi oleh Guan Eng di mahkamah dan bagaimana bapanya yang juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang dari semasa ke semasa terus menyerang SPRM.

"Kalau benarlah Pakatan Harapan mahu melawan rasuah, kenapa  pakatan itu agak liat untuk bekerjsama dengan SPRM, " kata Zein Isma. 

Bukankah dengan menandatangani IBR itu akan membuktikan ketelusan Pakatan Harapan dalam melawan rasuah seperti mana yang mereka canangkan? tanya beliau dalam satu kenyataan media semalam.

Menurut Zein Isma, jika Pakatan Harapan benar-benar serius dan telus, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAN perlu mendesak Guan Eng bercuti sehingga kes beliau di mahkamah selesai.

Bagaimanapun kata beliau, jika perbuatan rasuah itu  melibatkan pemimpin-pemimpin kerajaan sudah pasti mereka membuat seruan tersebut, tetapi apabila kena batang hidung sendiri, pelbagai hujah dikeluarkan.

Sebenarnya, perhimpunan ini  tiada bezanya dengan perhimpunan-perhimpunan haram sebelum ini yang dianjurkan oleh parti-parti pembangkang, katanya lagi.

Beliau menyatakan perhimpunan itu  semata-mata  bagi mengalih perhatian rakyat terhadap kemelut yang sedang dihadapi oleh Pakatan Harapan.

PKR kini berhadapan de­ngan isu pesta arak, DAP masih belum selesai dengan masalah pemilihan dalam parti manakala PPBM pula terus bergolak yang menyaksikan seorang demi seorang pemimpinnya meninggalkan parti.

Zein Isma berkata, Pakatan Harapan kini cuba 'memperbodohkan rakyat' dengan me­ngadakan perhimpunan seumpama itu yang tentunya digunakan untuk memburuk-burukkan dan menyerang kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Beliau menyifatkan Pakatan Harapan kini  sudah kehabisan modal untuk menyerang kerajaan. Pelbagai tohmahan dan fitnah yang mereka sebarkan ternyata belum mampu mempengaruhi rakyat menyokong mereka.

Beliau juga  melihat perhimpunan anjuran Pakatan Harapan tersebut bagaikan ‘satu ope­ra’ yang digerakkan oleh DAP, parti dominan dalam pakatan itu.

Pakatan Harapan boleh meneruskan sandiwara politik mereka, tetapi dalam masa perlu memahami bahawa rakyat semakin muak dengan lakonan mereka, kata Zein Isma lagi. - Kedahnews.com



No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com