Helang Merah Lebih Suka Stadium Bukit Jalil Berbanding Shah Alam


ALOR SETAR - Walaupun Stadium Shah Alam memberi tuah kepada Kedah ketika menjuarai Piala Malaysia 2016 dan Piala FA Mei lalu, namun skuad Helang Merah lebih mengimpikan untuk beraksi menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 4 November ini.

Hal ini diakui Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Shahrul Samsudin dalam satu kenyataan.

"Bagi pasukan Kedah ini final ketiga berturut-turut untuk kita sejak tahun 2015, kita tidak ada isu sangat kecuali tahun ini kita sebenarnya harap perlawanan antara Kedah dan JDT, dua pasukan yang agak baik prestasinya kebelakangan ini mengimpikan untuk bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Tapi sudah ditentukan venue itu tak boleh digunakan pada tarikh ditetapkan jadi kita akur dengan ketetapan bahawa stadium Shah Alam sebagai venue perlawanan kali ini, bagi pasukan Kedah kami mengejar kejuaraan ketiga tahun ini selepas Piala Sultan Haji Ahmad Shah dan Piala FA di mana kejuaraan keenam untuk Piala Malaysia.

"Johor DT pula johan empat kali Liga Super, satu pasukan yang hebat dan sudah tentu perlawanan ini yang ditunggu-tunggu peminat bola sepak," katanya yang dipetik dari BH Online.

Tambah Shahrul, bagi peminat kedua-dua pasukan pasti mahu SNBJ sebagai venue kerana kapasitinya lebih besar tambahan pula stadium utama itu sudah berwajah baru selepas kali terakhir menjadi venue final Piala Malaysia pada 2014.

Menurut Pengarah Pertandingan Final Piala Malaysia 2017 Mohd Shazli Shaik Mohd memaklumkan bahawa perubahan tarikh perlawanan Liga Malaysia sebelum ini menyebabkan SNBJ tidak dapat digunakan.

"Kita sudah buat penjelasan sebelum ini, memang pada awal dirancang final Piala Malaysia berlangsung seminggu sebelum 4 November.

"Jika diadakan pada 29 Oktober sudah tentu perlawanan akhir itu berlangsung di Bukit Jalil tetapi hasil permohonan daripada pengurusan pasukan kebangsaan untuk beri sedikit kelonggaran pasukan Sukan SEA dan pasukan kebangsaan maka kita anjak seminggu lewat dan tarikh itu ada acara lain berlangsung di situ, jadi Stadium Shah Alam dipilih untuk venue perlawanan akhir Piala Malaysia 2017.

"Mungkin tahun hadapan final Piala FA dan Piala Malaysia akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil bergantung kepada penggunaan stadium itu nanti." ujar Shazli.

Sementara itu, ini merupakan final ketiga berturut-turut buat Kedah yang dibimbing jurulatih Nidzam Adzha Yusoff di mana mereka muncul naib juara dan juara menentang Selangor di final 2015 dan 2016. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com