Hasrat PAS Kedah Tanding Semua Kerusi Hampir Jadi Kenyataan


ALOR SETAR - Hasrat PAS Negeri Kedah untuk bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan 15 Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 hampir menjadi kenyataan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menyempurnakan majlis penutup Fastaqim 2.0 di Pantai Tol Jembal, Kuala Nerus mengumumkan parti itu akan bertanding sebanyak mungkin kerusi pada pilihan raya nanti.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi sebelum ini menyatakan ikrar PAS Kedah yang mahu bertanding di semua Dun dan Parlimen di Kedah pada PRU ke-14, namun menyerahkan keputusan tersebut kepada pucuk pimpinan parti di peringkat Pusat.

Selain itu, Abdul Hadi dalam ucapan beliau turut menyindir segelintir ahli PAS yang "lari" dari prinsip perjuangan parti itu.

"Meskipun ada yang melompat, menyeleweng, 'melarikan diri' (masuk parti lain), PAS tidak berganjak kerana rakyat bersama PAS, biarlah mereka yang meninggalkan PAS, terjun dengan labu-labunya.

"PAS makin lama makin berkembang, makin hari makin ramai pengikutnya seperti yang kita saksikan hari ini," ujar beliau.

Susulan dari kenyataan Presiden PAS itu, pertembungan tiga penjuru yang cuba dielak dan "ditakuti" oleh Pakatan Harapan dijangka tidak dapat dielakkan lagi pada PRU ke-14.

Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebelum ini meminta supaya PAS tidak patuh pada ketetapan PAS Pusat untuk tidak menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan.

Sebaliknya, bekas Menteri Besar itu berusaha "memujuk rayu" supaya PAS Kedah bekerjasama dengan Pakatan Harapan di peringkat negeri pada PRU yang dijangka berlangsung tidak lama lagi. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com