Hampir Setahun Jalan Di Baling 'Dalam Kegelapan'


ALOR SETAR - Hanya mengharapkan lampu dari kenderaan, pengguna jalanraya dari bulatan Taman Desa Bidara hingga di jalan utama hadapan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) mengeluh kerana sepanjang jalan tersebut berada 'dalam kegelapan'.

Setiausaha Majlis Tindakan Dun Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, lampu di sepanjang jalan itu tidak berfungsi dan mampu mengundang risiko keselamatan kepada pengguna.

"Hampir setahun lampu jalan di kawasan berkenaan tidak berfungsi dengan baik. Ia dibiarkan bergelap tanpa sebarang tindakan.


"Kerajaan negeri seolah-olah tidak ambil berat keselamatan nyawa pengguna terutamanya melibatkan pekerja kilang, mahasiswa, kakitangan dan pensyarah Kuin,"Katanya di Pejabat Majlis Tindakan Dun Kuala Ketil, semalam.

Sementara itu, Adun Kuala Ketil, Md Zuki Yusof berkata, orang bertanggungjawab sepatutnya mengambil berat dan peka dalam menyediakan kemudahan  terhadap jalan persekutuan,  negeri dan luar bandar.

"Bukan lampu saja perlu diberikan perhatian, tetapi struktur jalan yang berlopak, beralun dan rosak hingga membawa risiko kemalangan perlu diberi perhatian serius," Katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan persekutuan pada tahun lalu telah lewat untuk menyalurkan peruntukkan kepada Jabatan Kerja Raya ( JKR) Kedah.

"Tahun lalu permohonan untuk selenggara jalan di negeri ini adalah sebanyak RM 200 Juta. Tetapi peruntukkan hanya turun sebanyak RM 12.7 Juta pada Ogos," Katanya.

Dalam pada itu,  Yang Dipertua Majlis Daerah Baling, Datuk Md Shuhaime Abdul Rahman berkata, beliau akan menyiasat perkara berkenaan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com