Guan Eng 'Bangga' Pelaburan Pulau Pinang Dibantu Oleh Kerajaan BN


ALOR SETAR - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan bangga memberitahu rakyat Kedah pada ceramah politik anjuran Pakatan Harapan di sini Jumaat lepas bahawa pelaburan luar di negeri itu semakin bertambah dan tidak ada kilang yang ditutup.

Guan Eng berkata demikian untuk menunjukkan pelaburan yang datang ke negeri itu seolah-olah diusahakan kerajaan DAP tanpa menyebut ianya juga hasil usaha daripada bantuan dan promosi kerajaan Persekutuan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bagaimananpun menjelaskan negeri yang dikuasai pembangkang akan mengambil kredit atau nama di atas usaha yang dilaksanakan oleh  kerajaan Persekutuan.

Namun apabila berlaku sesuatu yang buruk, kerajaan negeri pembangkang itu akan menuding jari kepada kerajaan Persekutuan, ujar Abdul Rahman.

Abdul Rahman menjelaskan selain Pulau Pinang yang ditadbir oleh DAP, kerajaan Persekutuan turut menyalurkan pembangunan dan pembinaan infrastruktur seperti MRT, LRT dan lebuh raya di negeri Selangor yang juga ditadbir oleh pembangkang, PKR.

Dalam kenyataannya semalam, Abdul Rahman menegaskan, langkah tersebut sebagai usaha mempromosi dan menarik pelaburan ke dalam negara ini.

“Walaupun pelbagai tuduhan palsu dibuat oleh pembangkang seperti Malaysia bukan lagi negara pilihan pelabur, pelabur asing meninggalkan Malaysia dan Malaysia adalah sebuah negara yang gagal tetapi petunjuk data ekonomi membuktikan sebaliknya.

“Aliran masuk bersih pelaburan langsung asing ke Malaysia telah meningkat daripada RM23.9 bilion (2008) kepada RM47.2 billion (2016) dan sejak 2014 pelaburan langsung asing meningkat secara konsisten walaupun Malaysia berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi luar negeri seperti kejatuhan harga komoditi dan pasaran kewangan global yang tidak menentu.” katanya.

Justeru, tambahnya, meskipun pihak pembangkang giat menyebarkan propaganda palsu demi kepentingan politik mereka, Selangor dan Pulau Pinang tetap menikmati pertumbuhan ekonomi, pembangunan, kemakmuran dan kestabilan yang telah dibawa kerajaan persekutuan.

Katanya, modus operandi pembangkang adalah mengambil kredit bagi semua pencapaian positif di negeri mereka, sebaliknya menyalahkan kerajaan Persekutuan apabila timbul apa-apa berita negatif tentang negara ini.Kata Abdul Rahman, berdasarkan data ekonomi negara membuktikan pihak pembangkang telah menyebarkan maklumat palsu tentang kedudukan ekonomi sekarang.

Tuduhan pembangkang yang menyatakan negara ini gagal diurus adalah tidak benar dan ia satu penipuan nyata kepada rakyat, katanya.

“Walaupun pembangkang membuat propaganda buruk mengenai ekonomi negara, Selangor dan Penang bergembira dengan pertumbuhan ekonomi, pembangunan dan kekayaan yang dibawa oleh kerajaan Persekutuan," ujar Abdul Rahman.

Selepas GST dilaksanakan, parti pembangkang termasuk DAP di Pulau Pinang menyebarkan maklumat kononnya  banyak kilang ditutup dan berpindah ke negara lain sementara para peniaga tempatan jatuh bangkrap.

Namun semasa berucap di Alor Setar, Guan Eng bercakap sebaliknya sementara Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap di Arau, Sabtu lalu menyifatkan Malaysia masih negara gagal.

Dua pemimpim itu tidak dapat mengakui tentang kedudukan ekonomi negara yang sebenar kerana terpaksa mengikut 'rentak' Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang terus mengulangi kenyataannya kononnya Malaysia kini cukup buruk pada mata rakyat luar negara.  - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com