GST Bukan Cukai Tambahan Baharu - Najib


ERA pentadbiran bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad, rakyat yang menerima gaji atau upah RM2,000 sebulan tetap diperlukan membayar cukai pendapatan.

Ini berbanding ketika pentadbiran Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Razak, kerajaan menaikkan nilai ambang cukai pendapatan supaya mereka yang berpendapatan  RM4,000 sebulan atau kurang, dikecualikan daripada membayar sebarang cukai pendapatan.

Najib dalam entri bertajuk 'Ke Arah Malaysia Yang Lebih Kuat dan Berdaya Saing' menerusi blog najibrazak.com, menjelaskan sejak beliau  menjadi Menteri Kewangan pada 2008, kerajaan telah juga mengurangkan cukai korporat daripada 27 peratus hingga 24 peratus.

"Kadar cukai pendapatan peribadi juga telah turun, daripada 28 peratus pada tahun 2008 kepada 24 peratus sekarang untuk kebanyakan rakyat Malaysia, " katanya lagi. 

Seandainya niat kerajaan adalah untuk meningkatkan pendapatan, adalah lebih mudah jika kita meningkatkan cukai korporat, cukai pendapatan dan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada, kata bagi menepis dakwaan pembangkang yang masih menggunakan isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk menghasut rakyat membenci kerajaan.

Beliau menegaskan GST yang dilaksanakan di 160 negara lain bukan sahaja berjaya mengelakkan Malaysia mengalami kemelesetan akibat kejatuhan harga minyak dunia pada tahun 2014, tetapi menjadikan ekonomi negara terus berkembang.

Menurut Perdana Menteri, ramai pihak termasuk pembangkang yang menjadikan GST sebagai salah satu sumber serangan utama terhadap kerajaan mendakwa ia adalah cukai baharu dan dilaksanakan semata-mata untuk meraih lebih banyak pendapatan kepada kerajaan.

Namun, sebaliknya beliau berkata, GST adalah pengganti kepada cukai jualan dan perkhidmatan yang tidak cekap, rumit dan tidak berfungsi dengan baik, sama ada untuk pengguna atau perniagaan.

Najib berkata, GST tidak sepatutnya dianggap sebagai cukai tambahan baharu tetapi sebahagian daripada pembaharuan cukai menyeluruh yang direka untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya saing, dapat mengawasi ekonomi hitam dan haram serta mengurangkan tindakan mengelak cukai dan meluaskan asas percukaian negara.

Beliau berkata, banyak negara lain seperti India dan Mesir turut ikut jejak Malaysia sejak pelaksanaan GST pada tahun 2015 manakala semua Negara Kerjasama Teluk - Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi, dan Emiriah Arab Bersatu - akan melaksanakan GST mereka pada 1 Januari tahun depan.

"Malah, perancangan ekonomi kita telah membolehkan kadar GST Malaysia hanya enam peratus, jauh lebih rendah daripada negara-negara lain yang tidak berkongsi asas ekonomi yang kukuh seperti kita.

"Kebanyakan negara - lebih daripada 160 di seluruh dunia - telah melaksanakan GST kerana mereka tahu ia diperlukan untuk menjadikan negara mereka lebih kuat dan lebih berdaya saing.

 Anehnya pihak pembangkang mendakwa tidak memahami perkara ini. Mereka mahu memansuhkan GST, tetapi tanpa cadangan bagaimana mereka akan menggantikan RM41 bilion yang dijana oleh GST pada tahun lalu," katanya.

Dalam setiap ceramah politik, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pemimpin DAP, Parti Amanah Negara, Parti Keadilan Rakyat serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia menggunakan pelaksanaan GST oleh kerajaan pada 2015 sebagai ' senjata' untuk mempengaruhi rakyat bagi menolak kerajaan.

Mereka 'berjanji' akan menghapuskan GST jika Pakatan Harapan mengambilalih teraju pemerintahan pada PRU ke14 akan datang.

Parti pembangkang mendakwa pelaksanaan GST menyebabkan kos hidup semakin meningkat sedangkan dalam masa yang sama kerajaan mengambil pendekatan memberikan bantuan kepada rakyat menerusi BR1M, bantuan untuk nelayan dan penoreh getah dan kumpulan sasar lain di samping mengkaji semula upah kepada kakitangan awam serta mengecualikan cukai pendapatan kepada yang berpendapatan rendah. - Kedahnews.com 

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com