Geng Anuar Terlibat Kes Samun Diburu


DUA lelaki dipercayai ahli kumpulan samun dikenali sebagai Geng Anuar diburu polis bagi membantu siasatan kes samun membabitkan kerugian kira-kira RM63,000 termasuk tiga jam tangan Omega.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, dua lelaki terbabit dikehendaki bagi membantu siasatan kes samun terhadap seorang lelaki berusia 60-an yang juga peniaga dan pengumpul barangan berharga terutama jam tangan mewah pada 27 September lalu.

"Berdasarkan fakta kes, mangsa dihubungi seorang lelaki kira-kira jam 8.30 malam pada hari kejadian mengatakan ingin menjual jam tangan Omega dan mangsa membuat temu janji di sebuah pusat karaoke di Station 18, Ipoh untuk melihat jam berkenaan.

"Kira-kira 45 minit kemudian suspek datang ke pusat hiburan bersama tiga lelaki lain menaiki sebuah kereta dan meminta mangsa masuk ke dalam kereta untuk melihat jam sebelum suspek tiba-tiba bertindak mengunci pintu kereta dan memecut laju," katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Balai Polis Pasir Puteh, Ipoh semalam.

Menurutnya, mangsa turut diikat di dalam kereta dan dipukul sebelum disamun membabitkan 11 barangan termasuk tiga jam tangan Omega, wang tunai RM100, tiga cincin emas, telefon bimbit, rantai emas dan patung gajah emas.

Sum berkata, selepas disamun mangsa kemudian dibebaskan di Jalan Sungai Siput Selatan (S) dan mengalami kecederaan sakit-sakit badan akibat dipukul.

"Susulan daripada laporan polis yang dibuat mangsa, polis menjalankan operasi mengesan empat suspek berkenaan dan berjaya menahan dua lelaki berusia 44 tahun di Pekan Baru, Ipoh pada 30 September lalu dan seorang daripadanya sudah didakwa di mahkamah pada Jumaat lalu.

"Beberapa barangan berharga milik mangsa termasuk dua jam tangan jenis Omega serta telefon bimbit dan cincin emas turut ditemui semula bersama dua suspek," katanya.

Menurutnya, polis kini mengesan dua lagi lelaki dikenali sebagai Qhyirull Anwar Ayub, 29, dan Mohamad Fauzi Adris, 23, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com