Gajah Liar Buat Penduduk Kampung Di Baling Cemas


ALOR SETAR - Lebih 900 penduduk Kampung Tanjung Pari, Mukim Siong, Baling berdepan detik cemas apabila sekumpulan gajah liar berkeliaran hingga merosakkan kebun dan dusun penduduk, sejak Isnin lalu.

Mneurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Pari, Taib Man, berkata penduduk kampung tidak berani ke kebun untuk mencari rezeki kerana bimbang terserempak dengan gajah liar yang berkeliaran dikawasan terbabit sepanjang malam.

Tambahnya, haiwan itu juga semakin berani menghampiri rumah penduduk dan merosak tanaman seperti pisang, anak getah, nangka, tebu dan kelapa.


"Rata-rata penduduk bergantung hidup dengan mencari rezeki sebagai petani. Akibat takut dengan gajah, mereka terputus punca pendapatan.

"Kami sudah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) supaya dapat menghalau gajah liar berkenaan selain memasang pagar elektrik di kawasan yang menjadi laluan gajah," katanya yang ditemui media di sini, semalam.


Bagi penduduk, Asri Yaacob,53, berkata gajah liar itu bergerak dalam satu kumpulan dengan menceroboh kebun penduduk dan memusnahkan banyak tanaman.

"Penduduk mengalami kerugian malah ada dikalangan petani tidak berani lagi ke kebun kerana bimbang perkara buruk," katanya yang dipetik BH Online.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Kedah, Inche Ali@Muhammad Ali Che Aman, berkata pihaknya akan mengambil tindakan segera sekiranya menerima laporan rasmi dan memastikan keselamatan penduduk terjamin.

"Tindakan yang dilakukan akan dibuat menggunakan kaedah menghalau gajah terbabit bagi mengelakkan sebarang kerugian harta benda dan ancaman keselamatan penduduk," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com