Fuziah Mahu Bergelar Usahawan Kampung Berjaya


INDUSTRI pembuatan tilam dan bantal getah menyebabkan keluaran sama daripada kekabu semakin dilupakan masyarakat Melayu masa kini walaupun ia masih mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Selain kekurangan bahan kekabu mereka yang kurang mahir membuatnya menjadi faktor keruntuhan industri berkenaan beberapa dekad lalu.

Namun begitu, industri berkenaan masih beroperasi di kampung-kampung tradisi Melayu dengan giatnya kerana minat mendalam pengusahanya.

Kini permintaannya semakin meningkat di pasaran dalam kalangan pelanggan pelbagai kaum di negara ini.

Pada masa lalu, tilam dan bantal kekabu hanya digunakan orang Melayu yang tinggal di kampung. Bagaimanapun keadaan sudah berubah dan permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat Cina turut meningkatkan jumlah pasarannya.

Kebanyakan mereka percaya ia dapat menyejukkan badan dan memberi keselesaan menyenangkan ketika tidur waktu malam.

Biasanya tilam kekabu diletak di bahagian atas tilam getah ketika tidur bagi mengelakkan badan cepat berpeluh, panas dan gatal.

Antara mereka yang masih giat mengusahakannya ialah Fuziah Mohd Tahir, 46.

Dia yang menjalankan perniagaannya bersama ahli keluarganya di Kilometer 37, Kampung Nasarudin, Bota, Perak, mengakui semakin seronok mengusahakan produk berkenaan kerana permintaannya semakin meningkat di pasaran.

“Pada mulanya saya menjual bantal dan tilam yang diusahakan orang lain. Bermula daripada situ saya  menanam  minat untuk membuat bantal dan tilam kekabu sendiri sehingga kini.

“Alhamdulillah, meskipun secara kecil-kecilan, ia dapat membantu menambah pendapatan keluarga saya,” katanya ketika ditemui di Bota, Perak, baru-baru ini.

Menurut Fuziah, bukan mudah untuknya menjalankan perniagaan tersebut, kerana dia pernah berdepan masalah kekurangan modal untuk menubuhkan premis sendiri, Z Zeemart Enterprise.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana mendapat bantuan pinjaman dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Alhamdulillah dengan bantuan kewangan dan khidmat nasihat AIM, perniagaan saya kini berjalan lancar dan semakin berkembang,” katanya.

Menurutnya, agensi kerajaan harus sedia membantu peniaga kecil mengembangkan perniagaan melalui skim pinjaman modal dan khidmat nasihat.

“Saya yakin, institusi kewangan sedia memberikan pinjaman sekiranya perniagaan kita berdaya maju,” katanya.

Dia juga yakin produk tempatan boleh dipasarkan ke serata dunia sekiranya pengusaha mempunyai inovasi tinggi bagi meningkatkan corak dan reka bentuknya yang boleh menarik perhatian pelanggan masa kini.

“Saya juga dalam usaha mempelbagaikan lagi rekaan dan corak produk kekabu bagi mengetengahkan lagi produk kekabu.

“Malah saya juga sedia menerima tempahan khas dari pelanggan. Dari situ, saya memberikan lebih pilihan kepada pelanggan, di samping lebih kreatif menghasilkan produk dan rekaan baharu,” katanya.

Pelanggan pelbagai bangsa

Fuziah berkata, setakat ini dia menerima bekalan kekabu daripada penduduk kampung yang tinggal di sekitar Bota, Teluk Intan dan Kuala Kangsar.

Selain bantal dan tilam, dia turut menjual barangan bayi dan set perkahwinan.

“Bukan sahaja masyarakat setempat, kedai saya turut di kunjungi pelanggan dari luar yang terdiri dari pelbagai bangsa, singgah membeli bantal dan tilam di sini.

“Saya sangat bersyukur kerana perniagaan ini semakin mendapat sambutan walaupun keuntungannya masih kecil,” katanya.

Fuziah berkata, semua urusan jual dan beli di gerai diuruskannya sendiri dan dibantu suami serta anak-anak pada masa tertentu.

“Suami sememangnya banyak membantu. Anak-anak pula, saya memang mahu melatih mereka supaya mahir dalam bidang perniagaan.

“Biar mereka juga mempunyai pengalaman menguruskan jual beli dan siapa sangka nanti mereka juga akan mengembangkan perniagaan ini,” katanya.

Mampu berbangga dengan perniagaan yang diusahakan, Fuziah berazam untuk menjadi usahawan wanita kampung yang berjaya dalam bidang perniagaan tilam dan bantal kekabu ini suatu masa nanti.

“Saya percaya kalau kita berusaha keras, tekun dan sabar, Insya-ALLAH kita akan lebih maju. Walaupun usia juga semakin meningkat, ia tidak menghalang saya untuk terus berjaya,” katanya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com