Fiesta Usahawan Wanita Kedah 2017 Lonjak Potensi Bantu Rakyat


ALOR SETAR - Penganjuran Fiesta Usahawan Wanita Negeri Kedah pada tahun ini dilihat mampu memberi lonjakan positif kepada usahawan-usahawan wanita di negeri ini untuk mempromosikan produk-produk mereka dengan lebih meluas.

Menjadi platform tahunan kepada para wanita yang menceburkan diri dalam dunia perniagaan, program yang diadakan bersempena Hari Wanita 2017 itu disifatkan sebagai satu inisiatif tepat dan wajar diteruskan pada masa akan datang.

"Sudah 2 tahun berturut-turut saya datang ke program ini. Banyak yang saya dapat. Selain diperkenal dengan produk-produk tempatan dari Kedah yang berkualiti tinggi dengan harga yang berpatutan, ia membantu usahawan kita memasarkan produk mereka.

"Syabas kepada pihak Jabatan Pembangunan Wanita Kedah kerana menganjurkan program ini. Saya harap pihak penganjur dijadikan acara ini sebagai acara tahunan," kata seorang pengunjung fiesta itu kepada Kedahnews.com di sini, hari ini.


Salah seorang peserta fiesta itu pula yang pertama kali menyertai program tersebut meluahkan rasa gembira dan teruja kerana diberi kesempatan untuk mempamerkan produk baru yang diusahakan.

Memasarkan produk susu lembu segar dari Pokok Sena di samping produk sampingan "kopi viral", usahawan yang dikenali sebagai Ain turut berharap agar program berkenaan memberi peluang kepadanya mengembangkan lagi pasaran produknya.


"Ini pertama kali saya sertai program ini. Ianya percuma dan saya tidak dikenakan sebarang bayaran. Program ini saya lihat amat membantu memperkenalkan perniagaan saya.

"Pada masa yang sama, ia juga memberi galakan dan semangat kepada saya untuk majukan lagi produk saya dengan lebih meluas," katanya.


Fiesta Usahawan Wanita Negeri Kedah yang diadakan bersempena Hari Wanita bertempat di Dewan MBAS di sini merupakan anjuran bersama Jabatan Pembangunan Usahawan Wanita Negeri, Puspanita Negeri dan Pejabat Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, antara tujuan pihaknya menganjurkan program itu adalah untuk membantu para usahawanita di negeri ini memajukan lagi perniagaan yang diceburi.


"Ia menjadi hasrat kita untuk melihat wanita-wanita di Kedah mempamerkan kehebatan mereka berniaga, berdikari dan meningkatkan tahap ekonomi masing-masing. Kita sentiasa komited untuk membantu melalui pelbagai program.

"Saya harap, usahawan kita ambil peluang dari semua program yang kita anjurkan setiap tahun dan dapatkan ilmu sebanyak mungkin untuk memajukan perniagaan masing-masing. Siapa kata wanita Kedah tak 'power'?," katanya kepada Kedahnews.com ketika melawat gerai-gerai pameran di sini.


Program Fiesta Usahawan Wanita tersebut merupakan sebahagian dari acara yang dianjurkan bersempena Hari Wanita, manakala malam ini bakal berlangsung Malam Anugerah Wanita Cemerlang Peringkat Negeri Kedah di Dewan Sri Negeri, di Wisma Darul Aman.

Dianggarkan lebih 1,000 pengunjung membanjiri fiesta berkenaan yang bermula seawal jam 8 pagi dan berakhir pada jam 7 petang.


Majlis berkenaan bakal disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang dijangka hadir bersama isterinya, Datin Seri Hizam Awang Ahmad. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com