Feri 'Modus Operandi' Utama Dadah Masuk Ke Langkawi


ALOR SETAR - Pulau Langkawi yang merupakan destinasi perlancongan popular dan menjadi pilihan utama kini tercemar apabila mencatatkan bilangan tangkapan tertinggi bagi kes penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Dr Che Ghazali Che Awang berkata, sejak Januari hingga September tahun ini, hasil tangkapan yang dicatatkan seramai 758 orang manakala  118 orang disyaki terlibat mengedar dadah.

Sementara itu, siasatan yang dilakukan mendapati 593 kes yang dicatatkan melibatkan dadah jenis heroin.

Malah, difahamkan bahawa laluan air iaitu feri menjadi 'modus operandi' utama untuk membawa masuk dadah dari tanah besar ke pulau.

“Kita telah mengenal pasti feri-feri ini menjadi laluan yang sering digunakan untuk membawa masuk dadah ke Langkawi sama ada dari Kuala Kedah, Kuala Perlis atau pun Satun (Thailand),” katanya.

Menurut Che Ghazali, para pekerja syarikat feri juga tidak terlepas untuk menjalani operasi ujian saringan dadah.

Ujarnya lagi, satu lagi alat pengimbas telah dikemukakan kepada pihak pengurusan Jeti  Penumpang Kuah bagi mengimbas penumpang yang baru tiba.

“Setakat ini hanya ada sebuah alat pengimbas yang dipasang di laluan keluar pulau melalui jeti dan dengan adanya sebuah lagi alat pengimbas di laluan masuk, kita dapat membendung kemasukan bahan terlarang ini ke Langkawi,” katanya.

Tegasnya lagi, Polis Langkawi telah berjaya membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah menerusi program berterusan Jihad Perangi Dadah di mana ia menyumbang kepada penurunan kes yang dikategorikan di bawah jenayah indeks.

“Jenayah ini  termasuk mencuri, pecah rumah, menyamun dan jenayah kekerasan yang mencatatkan penurunan kira-kira 14 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Antara Januari dan September tahun ini, sebanyak 298 kes di bawah Jenayah Indeks dicatatkan berbanding 342 kes yang dilaporkan (pada tempoh yang sama) tahun lepas.” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com