Felda Bukit Tangga Perlu Tangani Segera Masalah Peneroka Bukit Kayu Hitam


ALOR SETAR - Pihak pengurusan Felda Bukit Tangga didesak supaya menangani segera masalah yang menimpa kira-kira 90 peneroka di Bukit Kayu Hitam yang didakwa terputus hubungan untuk ke ladang.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (Cap) membuat desakan tersebut kerana jalan yang menjadi laluan utama para peneroka disitu telah runtuh hingga mengakibatkan mereka sukar untuk ke ladang.

Pegawai Luar Bandar Cap,Zulkifli Yusuf berkata, masalah ini adalah sesuatu yang sangat serius kerana ia menjejaskan aktiviti harian peneroka.

"Kerja-kerja membaik pulih perlu disegerakan sebelum ia menjadi bertambah serius memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang ini," katanya.

CAP turut menyatakan kekesalan berhubung perkara tersebut kerana masalah yang timbul itu telah lama disuarakan tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

"Cap akan menulis surat kepada pihak Felda dan juga kementerian yang terlibat untuk menggesa tindakan segera dijalankan," katanya.

Terdahulu, para peneroka mengeluh kerana jalan utama yang menghubungkan mereka ke ladang telah terputus akibat tanah runtuh setelah hujan lebat.

Perkara tersebut menjejaskan pendapatan mereka kerana hasil ladang tidak dapat dibawa keluar dan tidak dapat dijual. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com