ERT Untuk Tangani Kecemasan Bangunan, Premis


KOTA KINABALU - Pemilik premis bangunan di negeri ini diharap dapat menubuhkan Pasukan Respons Kecemasan (ERT) sendiri bagi menghadapi sebarang insiden kecemasan, terutama kebakaran.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata penubuhan pasukan itu juga dapat mendidik lebih ramai warga kerja berkaitan usaha berdepan kecemasan dan keselamatan ketika berada di tempat kerja.

Pada masa sama, katanya, penganjuran latihan pemantapan kawad kecekapan ERT di bangunan dan premis perniagaan dianjurkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah penting dalam usaha membudayakan keselamatan.

"Saya yakin usaha pembudayaan keselamatan kebakaran ini akan dapat diperluas dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa ke seluruh negeri dengan sokongan, kerjasama dan pembabitan pelbagai pihak.

"Dengan pengalaman terbabit dalam latihan seumpama ini, ia membolehkan pemilik serta pekerja sesebuah premis bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan khususnya kebakaran.

"Sekurang-kurangnya penghuni premis boleh melakukan tindakan awal sekiranya berlaku kebakaran sebelum bomba tiba," katanya ketika merasmikan Makan Malam Penutupan Latihan Pemantapan Kawad Kecekapan Emergency Response Team (ERT) Bomba Peringkat Negeri 2017, di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Hajiji Noor.

Latihan pemantapan kawad kecekapan ERT kali keenam itu disertai 660 peserta daripada 66 pasukan membabitkan empat kategori utama iaitu perkilangan, pemprosesan, perkhidmatan dan perhotelan.

Antara pasukan mengambil bahagian termasuk Hotel Le Meridien, Pharmaniaga, Sepangar Chemical Industry dan Melewar Properties Sdn Bhd.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com