Emas, Hantaran Bukan Pengukur Bahagia - Isteri Pemandu Lori


PETALING JAYA - Barangan kemas bagai tidak dapat dipisahkan dengan pengantin perempuan yang bakal bergelar Raja Sehari.

Ada yang mengimpikan sebuah majlis perkahwinan mewah, tak kurang juga yang berlumba-lumba untuk menjadikannya sebagai yang terbaik atau ‘wedding of the year’.

Namun pasangan pengantin ini menarik perhatian netizen selepas gambar-gambar mereka dikongsikan oleh seorang jurugambar di laman Facebook Perjuangan Lensa Ayen kerana kedua-duanya mempelai ini menyarungkan aksesori daripada perak, bukannya emas.

Laila Hazwani Ariffin, 23, berkata, majlis perkahwinannya bersama Muhammad Alif Muhamad Ali, 25, diadakan pada 9 September lalu, tetapi gambar-gambar peristiwa bersejarah itu baru saja dikongsikan oleh jurugambar berkenaan pada minggu lalu.

Dia mengakui tidak memakai barang kemas pada hari berkenaan, malah tiada hantaran dulang yang dilakukan, melainkan wang hantaran.

“Keluarga saya menerima keputusan saya untuk melangsungkan perkahwinan ini dengan memakai barangan daripada perak.

“Bagi saya, emas dan dulang hantaran bukanlah ukuran kebahagiaan kami, tapi adalah kasih sayang, toleransi dan saling memahami antara kami,” katanya kepada mStar Online, sambil menambah dia turut menyukai aksesori perak.


Laila yang bekerja di sebuah syarikat pengurup wang berkata, suaminya sebenarnya menjual aksesori perak secara sambilan.

Perniagaan itu dibuat bagi membolehkan Muhammad Alif mendapat pendapatan sampingan selain bekerja sebagai pemandu lori sepenuh masa.

“Walaupun dia sekadar pemandu lori, tetapi hati saya terpaut kerana usaha dia untuk menghalalkan hubungan kami dengan menjadikan saya sebagai isteri,” katanya.

Laila dan Alif yang berasal dari Kapar, Selangor mula berkenalan pada 2007 sejak di bangku sekolah dan mengambil keputusan untuk ke tahap lebih serius dua tahun lalu.

“Sebab kasihkan saya dan serius dengan perhubungan kami, dia sanggup bekerja siang dan malam nak kumpul wang untuk berkahwin,” katanya.

Menurut Laila, selain sikap bertanggungjawab Alif untuk menjadikannya sebagai isteri, dia turut terharu dengan suaminya itu yang menghormati ibu bapanya.

“Dia anak tunggal dan menjaga ibunya dengan penuh kasih sayang. Dia juga menghormati kedua ibu bapa saya sepanjang perkenalan kami,” katanya.

Bagaimanapun dia tidak menafikan terdapat segelintir pihak yang mempertikaikan pemakaian aksesori perak itu pada majlis perkahwinannya.

“Kami sekeluarga memahami kemampuan dia dan dia juga jujur dengan keadaan dirinya. Walaupun pemandu lori, dia berusaha untuk lakukan yang terbaik.

“Buat apa nak kahwin sampai berhutang atau menipu. Biarlah orang nak kata apa, yang penting adalah kehidupan kami selepas berkahwin,” katanya.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com