Dulu Saya Persetankan DAP, Hari Ini Damping Balik..., Kata Dr. Mahathir


PENGERUSI Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengaku beliau  pernah 'mempersetankan DAP' dalam politik.

“Sayalah orangnya yang mempersetankan DAP. Dalam politik jika kita nak kalahkan musuh, kita terpaksa memburukan imej musuh. DAP adalah musuh parti saya dan saya sendiri,” katanya dalam blognya semalam.

Pengerusi PPBM dilapor berkata demikian sebagai mengulas berhubung ramai orang Melayu percaya dakwaan bahawa parti rasis dan cauvinis DAP akan memerintah Malaysia, malah Lim Kit Siang akan menjadi Perdana Menteri, jika UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah.

Malah, katanya, ada dalam kalangan mereka yang menganggap beliau sudah mengkhianati Melayu apabila bekerjasama dengan Kit Siang dan DAP.

Katanya, pendekatan mempersetankan DAP yang beliau ambil sebelum ini amat berkesan sehingga orang Melayu sekarang ini tidak boleh menerima parti itu dan sesiapa sahaja yang mendampinginya.

“Hari ini saya sendiri yang mendampingi DAP. Maka pada ramai orang UMNO terutamanya, saya sudah khianati mereka.

“Saya tidak akan berbuat demikian jika DAP benar-benar syaitan. Sebelum saya ramai juga pemimpin tertinggi Melayu yang bekerjasama, bahkan menyokong DAP. Di antara mereka ialah Tunku Abdul Rahman, (Bapa Kemerdekaan) dan Tengku Razaleigh Hamzah. Anwar Ibrahim juga bekerjasama dengan Kit Siang dan DAP.

“Pemimpin PAS, Hadi Awang biasa berpeluk Kit Siang dan berada dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat pada PRU 12 dan 13. PAS menang besar apabila disokong oleh orang Cina DAP,” menurut laporan itu lagi.

Bekas Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun itu juga dilapor berkata, perjuangan politik mereka menjadi sama dan berpendapat menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lebih penting daripada sengketa antara mereka.

Mahathir turut berkata, pengundi Cina kurang dari pengundi Melayu tetapi Melayu berpecah kepada empat parti iaitu UMNO, PKR, AMANAH dan PPBM.

Beliau berkata, majoriti wakil rakyat, jika Pakatan Harapan menang akan terdiri daripada orang Melayu dan ramai daripadanya berminat untuk menjadi Perdana Menteri dan tidak akan menyerahkan keputusan kepada DAP untuk memilih Perdana Menteri.


Sumber: MalaysiaGazette

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com