Dua Rakan Serumah Didakwa Lupus Bukti Kes Bunuh


JOHOR BAHRU - Dua rakan serumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam ini atas pertuduhan melupuskan bahan bukti kes pembunuhan membabitkan kedua-duanya bulan lalu.

D Khishendra, 24  dan K Mathan Raj, 31 yang masing-masing merupakan pekerja kilang dan pengawal keselamatan di Singapura, membuat pengakuan itu di hadapan hakim Kamarudin Kamsun selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Kedua-duanya didakwa secara bersama melupuskan bahan bukti itu pada jam 7.50 pagi, 21 September lalu di perhentian bas Jalan Persiaran Sungai Danga, Perling di sini mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan didenda.

Mahkamah membenarkan tertuduh  diikat jamin RM12,000 dan RM10,000 untuk Khishendra dan Mathan Raj dengan seorang penjamin masing-masing serta menetapkan 9 November bagi sebutan semula kes.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi'uddin manakala  peguam AR Subash mewakili Khishendra  dan Muhammad Ashraff Mohd Diah serta Ahmad Yusri Ahmad Fuad mewakili Mathan Raj.

Menurut fakta kes, kedua-dua tertuduh merupakan antara empat suspek yang ditahan berhubung penemuan mayat seorang lelaki di perhentian bas itu pada 21 September lalu.

Keempat-empat mereka yang ditahan di beberapa lokasi di Johor Bahru antara 29 September dan 3 Oktober merupakan rakan serumah mangsa yang dikenal pasti sebagai  S Navina, 19.

Polis kini memburu  dua lagi lelaki yang juga rakan serumah mangsa dan seorang wanita yang merupakan teman wanita kepada seorang daripada  suspek untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com