Dua Lagi Anggota TLDM Cedera Di Bilik Tahanan, Dua Suspek Ditahan


IPOH - Polis mengesahkan dua lagi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) cedera dalam kejadian dua anggota TLDM meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit (BTU) Sungai Wangi di Sitiawan pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, berikutan itu polis menahan dua suspek yang merupakan anggota TLDM berusia 29 dan 37 tahun.

Menurutnya, kedua-dua suspek akan reman hari ini.

Katanya, dua anggota TLDM yang cedera masing-masing berusia 30 tahun.

“Kita sedang dalam proses untuk merakamkan percakapan kerana terdapat kecederaan hampir sama pada mangsa yang kini berada di katil hospital tetapi di dalam wad biasa.

“Kita akan membuat siasatan forensik pada hari ini terhadap kamera litar tertutup (CCTV) yang dirampas. Pasukan polis Bukit Aman turut sama-sama membantu menjalankan siasatan dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak.

“Apabila dimasukkan ke dalam lokap (TLDM), ada siri-siri tertentu untuk keluar menjalani latihan. Jadi pihak polis juga masih menyiasat sama ada insiden itu berlaku ketika mereka dikurung di dalam atau di luar lokap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri yang diadakan di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini. 

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com