Dituduh Meraba, Peniaga Cedera Parah Dipukul


PULAU PINANG  - Akibat dituduh meraba pelayan pelanggan di sebuah pusat hiburan, seorang peniaga cedera parah di beberapa anggota badannya selepas dipukul enam lelaki menggunakan botol awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi, llelaki berusia 25 tahun itu dipukul sekumpulan lelaki yang seorang daripada mereka memperkenalkan diri sebagai Ah Kim.

Ketika kejadian, menurut Anuar, mangsa yang ke pusat hiburan Volt Entertainment di Lorong Selamat di sini bersama rakannya telah ke tandas yang terletak berhadapan dengan pusat hiburan itu seorang diri sebelum didatangi kumpulan berkenaan.

“Kejadian berpunca apabila seorang pelayan pusat hiburan itu yang juga teman wanita kepada rakan Ah Kim mendakwa diraba di bahagian punggung oleh mangsa ketika dia berjalan ke tandas.

“Mangsa yang dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan luka di bahagian atas kepala dan menerima 12 jahitan, 16 jahitan di jari telunjuk kiri dan lengan akibat terkena botol kaca,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Anuar, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mencedera.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com