Ditahan Polis Selepas Mohon Maaf Bunuh Wanita Cuci Rumah


IPOH - Seorang lelaki ditahan polis selepas memohon maaf dan mengaku dia telah membunuh seorang wanita berumur lingkungan 40-an di rumahnya di Kampung Tersusun Tasek di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, lelaki berumur 34 tahun itu hadir ke Balai Polis Bercham pada kira-kira 3.30 petang dan memberitahu dia telah membunuh wanita terbabit.

“Apabila tiba di rumah terbabit polis menemukan mayat mangsa dengan kesan kecederaan di bahagian muka dan belakang kepala serta tiga jari tangan putus selain sebilah parang dijumpai di hadapan rumah,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati mangsa datang ke rumah suspek kira-kira 2.30 petang tadi untuk membersihkan rumah sebelum dia dibunuh.

“Semasa kejadian hanya mangsa dan suspek berada di dalam rumah dan mayat mangsa yang lengkap berpakaian dipercayai dibunuh di antara ruang tamu dengan dapur,” katanya.

Chang Keong berkata, pihak polis dimaklumkan oleh keluarga suspek bahawa suspek yang telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak dipercayai mempunyai masalah mental.

“Mangsa pula bukan bekerja tetap di rumah itu sebaliknya hanya bekerja sambilan apabila dipanggil oleh keluarga untuk mencuci rumah,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau berkata polis akan menyiasat motif kejadian dan mendapatkan keterangan lanjut daripada doktor serta laporan kesihatan suspek. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com