Diari Anak Kedah: Zakiah Hanum Wanita Pertama Terima Anugerah "Ramon Magsaysay"


ALOR SETAR - Mungkin generasi muda di Kedah agak kurang mengenali, malah tidak pernah dengar pada nama Zakiah Hanum, seorang anak kelahiran Kedah yang pernah menempa nama yang hebat dalam sejarah negara kita.

Nama penuhnya, Dato' Zakiah Hanum Abd. Hamid, dilahirkan pada 15 September 1937 di Jalan Langgar, Alor Setar, Kedah.

Beliau mendapat pendidikan awal di Kampong Baru Girl's School dan kini dikenali sebagai Sekolah Sultanah Asma, Alor Setar pada tahun 1947 hingga tahun 1955. 

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian menengahnya di Methodist Boys School, Pulau Pinang sehingga tahun 1957.

Setelah tamat tingkatan enam, Zakiah kemudian mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya pada tahun 1957 dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan pengkhususan dalam bidang Pengajian Melayu pada tahun 1961.

Seusai tamat pengajiannya, beliau mula bertugas di jabatan kerajaan sebagai Penolong Penyimpan Arkib di Arkib Negara pada tahun 1961.

Pada ketika dirinya baru menginjak usia 23 tahun, beliau dihantar ke Arkib Negara, New Delhi, India bagi menyambung pengajiannya di dalam bidang Pentadbiran Arkib dan beliau berjaya memperoleh Diploma Pentadbiran Arkib dengan cemerlang.

Sebagai pakar dalam bidang Arkib, Dato' Zakiah Hanum menumpukan sepenuh tenaga, daya usaha dan kreativiti untuk memajukan Arkib Negara setanding dengan institusi luar negara.

Selaras perlantikannya sebagai Ketua Pengarah, Arkib Negara Malaysia pelbagai perancangan, idea dan program telah dilaksanakan antaranya Rancangan RTM, "Hari Ini Dalam Sejarah" adalah bermula ilhamnya. 

Ia mula di terbitkan pada tahun 1980 dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Tamil .

Bagi melengkapkan maklumat mengenai setiap sudut sejarah tanah air, Zakiah turut mengilhamkan "Pengkisahan Sejarah". 

Pengkisah-pengkisah atau tokoh-tokoh yang menyumbang sejarah negara dijemput menceritakan pengalaman mereka di program tersebut.

Antara tema siri pengkisahan sejarah merangkumi Sejarah Pentadbiran Malaysia, Wanita Dalam Sejarah Malaysia, Sejarah Angkatan Tentera dan peristiwa penting sejarah tanahair. 

Arkib Negara Malaysia telah menjadi perintis kepada Pengkisahan Sejarah di peringkat antarabangsa. 

Terbentuknya Memorial Tun Abdul Razak, Memorial Tunku Abdul Rahman, Pustaka Peringatan P. Ramlee dan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Melaka adalah hasil ilham Zakiah untuk mengingati, mendokumentasikan serta mempamerkan kepada umum sumbangan tokoh dan pemimpin negara.

Antara buku yang dihasilkan oleh beliau ialah Sembang Mak Alang (1986), Tercabarnya Maruah Bangsa (1987), Tradisi dan Budaya (1987), Asal-usul Negeri-negeri Di Malaysia (1989) dan Senda Sindir Sengat (1990).

Bagi menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dikurniakan pingat Johan Setia Mahkota (J.S.M) pada Jun 1976, Johan Mahkota Selangor (S.M.S) pada 8 Mac 1981 dan Darjah Kebesaran Dato' Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K) dengan gelaran Dato' pada 22 Januari 1989. 

Manakala anugerah tertinggi yang diperolehinya di peringkat antarabangsa ialah anugerah "Ramon Magsaysay" pada 1989 untuk perkhidmatannya yang cemerlang dalam sektor awam dan beliau mencatat sejarah merupakan wanita Malaysia pertama menerima anugerah gemilang tersebut.

Anugerah itu hanya diberikan kepada penjawat awam yang berintegriti tinggi dalam tadbir urus, perkhidmatan yang dedikasi kepada rakyat dan membentuk idealisme pragmatik dalam masyarakat demokratik.

Anugerah ini telah diiktiraf sebagai penghargaan yang dianggap paling berprestij di rantau Asia yang setaraf dengan Hadiah Nobel Barat. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com