Denda RM1,000 Lewat Daftar Kelahiran Anak


KLUANG - Denda bagi pasangan yang tidak mendaftar kelahiran dan surat beranak anak mereka dalam tempoh 60 hari bukan lagi RM50 tetapi dinaikkan kepada RM1,000, berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kadar denda lewat daftar itu dinaikkan selepas pindaan Akta 299 Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat yang diluluskan Dewan Rakyat tahun lalu.

Katanya, kerajaan mengambil keputusan semua kelahiran mesti didaftar dalam tempoh 60 hari, sama ada anak sah taraf atau luar nikah.

“Jika ibu bapa mendaftar lewat dari tempoh berkenaan, mereka akan didenda sehingga RM1,000 berkuat kuasa serta-merta.

“Ogos lalu, kita hanya menguatkuasakan tempoh pendaftaran lewat kelahiran dilanjutkan daripada 42 kepada 60 hari bagi memberi peluang ibu bapa atau ibu tunggal berpantang dan menguruskan bayi sebelum hadir di hadapan pendaftar kelahiran,” katanya.

Nur Jazlan berkata demikian selepas merasmikan pejabat baru Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Simpang Renggam di Taman Indah di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Simpang Renggam Datuk Liang Teck Meng, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Abdul Taib Abu Bakar dan Pengarah JPN Johor Rokiah Hanum Ibrahim.

Menurut Nur Jazlan, tindakan meningkatkan denda bukan bertujuan mengutip hasil tetapi lebih kepada menggalakkan ibu bapa mempercepat pendaftaran kelahiran anak yang baru dilahirkan.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com