DAP Dominasi Pakatan Harapan, Hanya Peralat Mahathir Lawan Najib


WALAPUN  tidak bertanding dalam banyak kerusi pada pilihan raya umum (PRU), sebenarnya DAP yang mendominasi parti dalam pakatan pembangkang dan kini  cuba memperalatkan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata perkara itu juga dapat dilihat apabila DAP mendominasi pentadbiran kerajaan negeri yang dikuasai pakatan pembangkang di Selangor.

Beliau memberi contoh berkaitan kelulusan pesta makanan dan minuman Jerman yang turut membabitkan arak yang diluluskan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK).

"Walaupun Selangor ditadbir oleh seorang Menteri Besar yang beragama Islam daripada pakatan pembangkang, mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana mereka mesti mengikut apa yang DAP mahukan," katanya.

Beliau berkata dalam isu pesta arak itu, walaupun PAS dan PKR adalah sebahagian daripada kerajaan negeri, DAP yang menentukan atau mempengaruhi tindakan kerajaan negeri Selangor.

"DAP dalam politik ini memang matlamat dan strategi mereka adalah untuk menguasai. Jadi banyak daripada kita tidak perasan apa yang ditawarkan oleh pakatan pembangkang sebenarnya adalah sebuah kerajaan yang akan dikuasai DAP. Ini tidak boleh mereka nafikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Program Dialog Perjuangan 4 All di Dewan Bangunan UMNO Bahagian Bakri di Johor semalam.

Sehubungan itu Annuar berkata, pihaknya mesti memberi penjelasan kepada rakyat mengenai perkara ini kerana dalam politik sekarang, Dr Mahathir bukan isu malah beliau adalah masalah dan bukannya menjadi penyelesaia masalah.

"Kalau fikir Dr Mahathir boleh selesaikan masalah, mereka silap sebab sebahagian besar masalah yang dibawa beliau (Dr Mahathir) sedang diuruskan oleh Najib, " katanya lagi.

"Beliau (Dr Mahathir) bukan satu penyelesaian tetapi DAP menggunakan beliau walaupun tahu Dr Mahathir adalah punca masalah tetapi kali ini DAP gunakan beliau. Yang akan menguasainya kelak adalah DAP," kata Annuar.

 Sementara itu  Annuar menegaskan  DAP yang merupakan jelmaan parti PAP di Singapura bukan­nya parti biasa tetapi mempunyai ideologi yang sangat tersendiri sehingga berkuasa dalam Pakatan Harapan.

Menurutnya, Lim Kit Siang sendiri pernah menyatakan parti itu tidak akan sama sekali meninggalkan ideologinya setelah melalui pelbagai zaman biarpun DAP terpaksa berubah dari segi pendekatan termasuk bergabung dengan beberapa parti politik lain.

Sementara itu beliau memberitahu, masyarakat perlu sedar bahawa apa yang ditawarkan oleh Pakatan Harapan jika mereka memenangi pilihan raya sebenarnya adalah lebih kepada kerajaan yang akan dikuasai oleh DAP.

"Parti itu tidak boleh berkompromi, pendekatan pe­cah perintah sejak dahulu lagi DAP gunakan. Malah, saya selalu kata tidak akan tumbang kayu kalau tak kerana kayu dan orang Melayu tidak akan jatuh atau lemah kalau tidak dilemahkan orang Melayu sendiri, " kata Annuar. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com