DAP Akur Arahan RoS, Tapi Tetap Tak Puas Hati


ALOR SETAR - Setelah berdolak-dalik memberi pelbagai alasan, DAP akhirnya bersetuju untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sebagaimana yang diarahkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bagaimanapun menunjukkan rasa tidak puas hati atas arahan RoS yang mahu partinya menggunakan senarai lama perwakilan pada pemilihan semula CEC yang bakal diadakan pada 12 November ini.

"Kita asalnya mengawalkan pemilihan parti yang sepatutnya pada Mac 2018 kepada sekarang tanpa buat pemilihan semula, tapi mereka (RoS) tak setuju dan mahu perwakilan berdasarkan senarai 2012," katanya Guan Eng, memetik laporan portal Antara Pos.

Selain itu, Guan Eng juga berang dan menuduh RoS menyebelahi beberapa ahli DAP yang mengadu kepada badan perdaftar pertubuhan itu.

Katanya, ahli-ahli DAP tersebut merupakan pembelot kepada parti.

"DAP menyatakan rasa tidak puas hati dengan keputusan RoS kerana ia empat tahun lewat. Keduanya, ini adalah satu tuduhan yang tidak berasas sama sekali berdasarkan jumlah perwakilan yang hadir.

"Mereka (RoS) terus menurut aduan ahli belot, keluar parti termasuk yang berjaya dalam pemilihan, malangnya RoS telah memihak kepada pihak ini," katanya.

Jelas Guan Eng, keputusan DAP untuk mengadakan pemilihan CEC itu juga diambil setelah wujud dakwaan yang mengatakan parti itu mahu "menyembunyikan sesuatu".

"Memandangkan ada tuduhan DAP takut adakan pemilihan semula seolah-olah ada ‘sesuatu’ yang disembunyikan," ujarnya Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Guan Eng kemudian mengumumkan tarikh  pemilihan semula ditetapkan pada 12 November ini bertempat di Ideal Covention Centre, Shah Alam.

Pada sidang media itu juga Guan Eng berkata parti dan RoS sudah mencapai persetujuan bersabit pemilihan syarikat Grant Thorton, sebuah firma antarabangsa bagi mengawal selia pemilihan semula berkenaan.

Beberapa ahli dan pemimpin akar umbi DAP sebelum ini mengambil tindakan protes dan mengemukakan bantahan kepada RoS terhadap keputusan pemilihan CEC parti itu yang berlangsung pada 29 September 2013.

Pada 7 Julai lalu, RoS meminta DAP mengadakan pemilihan semula CEC ekoran pelantikan ahli CEC dan pemegang jawatan utama DAP yang terpilih pada sesi pemilihan tersebut dianggap tidak sah dari segi undang-undang.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, pemilihan semula itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012, yang melibatkan seramai 2,576 perwakilan dari 865 cawangan.

Mohamad Razin berkata pemilihan semula CEC yang baru adalah perlu bagi memilih 20 orang anggota yang sah berpandukan kepada Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP untuk membolehkan pemilihan itu diiktiraf RoS.

Sebelum ini, UMNO pernah menghadapi masalah yang hampir sama dalam insiden "UMNO 11" sehingga menyebabkan parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu diumum tidak sah oleh mahkamah pada 1988.

Akibat dari keputusan yang tidak disangka itu, dikatakan hingga membawa kepada penubuhan tibunal untuk menyingkirkan Tun Salleh Abas yang merupakan Ketua Hakim Negara ketika itu.

Krisis perlembagaan 1988 itu menjadi modal politik pihak pembangkang ketika itu untuk mempersoal integriti dan tindakan campur tangan Tun Dr Mahathir yang mengepalai Kerajaan Persekutuan ketika itu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com