Dakwaan Konon Hamidah, Syed Saddiq "Berdamai" Terbukti Meleset


ALOR SETAR - Dakwaan yang mengatakan bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Dato' Hamidah Osman kononnya telah "berdamai" dengan Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ternyata meleset.

Hamidah sebaliknya membidas Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita PKR, Syarul Ema Rena Abu Samah atau "Ratu Naga" yang kononnya menjadi "orang tengah" apabila tiada permohonan maaf dari Syed Saddiq kepadanya.

"Ada ke Syed Saddiq minta maaf? Saya dah tengok video rakaman pertemuan tu takde pun Syed Sadiq minta maaf," kata Hamidah, memetik kenyataan di laman Facebooknya mengulas mengenai sidang akhbar Syed Saddiq yang mengaku salah faham terhadap beliau.

Hamidah turut mempersoal sama ada terlalu berat bagi Syed Saddiq untuk membuat permohonan maaf setelah menghamburkan pelbagai tuduhan fitnah terhadapnya menerusi Facebook "live" sebelum ini.

Malah kata bekas pengasas PPBM itu, tidak mudah baginya untuk memaafkan anak muda yang biadap seperti Syed Saddiq selepas apa yang berlaku.

"Dia dah aibkan saya dengan siaran LIVE seluruh negara tu macam mana. Damage has already done. Susah sangat ke sebagai anak muda untuk meminta maaf??

"Bila dah jadi macam ni suruh berlapang dada. Sebelum ini semua menjerit-jerit dalam FB mengutuk saya sebagai makan dedak.

"Sebelum ni semua tak fikir pasal boleh mengaibkan orang seperti yang Allah larang," tegas beliau, "menyekolahkan" Syed Saddiq.


Adiknya, Hamizura Osman yang difahamkan hadir pada sidang media Syed Saddiq itu turut mengesahkan Ketua Armada itu hanya mengakui salah faham, namun tidak membuat sebarang permohonan maaf terhadap Hamidah.

"Dia mengaku salah faham... Tapi tak minta maaf... Banyak kali play video tu...," katanya.

Bagi Hamidah, adalah tidak memadai baginya tentang pengakuan salah faham Syed Saddiq itu tanpa sebarang permohonan maaf, apatah lagi kedudukan Ketua Armada itu yang jelas masih muda berbanding dirinya yang berusia.

"Dah damagekan nama baik orang sekadar mengaku salah faham? Selaku pangkat anak apa salahnya kalau minta maaf tambahan dah tau bersalah.

"Kenapa saya perlu berjiwa besar sehingga mengizinkan anak muda jd biadap dan kurang ajar. Ini kah budaya yg ingin kita terapkan kpd generasi kita yg akan dtg. Selaku anak muda susah sgt ke nak minta maaf kpd seorg yg pangkat ibu.

"X heran arini kita tgk anak anak byk derhaka kpd org tuanya krn masyarakat arini pandang remeh dan ringan mengenai adap dan budi bahasa," tegasnya.

Berhubung tohmahan-tohmahan yang dilemparkan Syed Saddiq terhadapnya sebelum ini, Hamidah mengaku sangat terseksa dengan apa yang berlaku.

"Hanya Allah yg tahu betapa tersiksanya jiwa saya," ujarnya lagi.

Sementara itu, komen-komen di dinding kenyataan Hamidah itu turut mengecam Ratu Naga dan Syed Saddiq yang disifatkan sebagai gagal memahami isu sebenar tentang sikap biadap dan kepentingan adab sopan bangsa Melayu yang semakin hilang di kalangan anak muda di zaman ini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com