Cuaca Panas, Pastikan Ambil Air Mencukupi


ALOR SETAR – Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan kadar pengambilan air yang mencukupi bagi mengelakkan kejadian dehidrasi terutama ketika cuaca panas dan kering pada ketika ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, pengambilan air yang mencukupi seharusnya diambil terutama kepada mereka yang terlibat dengan aktiviti sukan.

Kepada orang awam pula, dinasihatkan berjaga-jaga dengan tanda-tanda strok haba seperti sakit kepala, lidah bengkak, tidak berpeluh, lesu, hilang fokus dan pengsan.

“Sekiranya keada­an ini berlaku, orang awam hendaklah segera mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik dari Utusan Online.

Menurut Jabatan Meteorologi, fenomena cuaca panas ini berlaku disebabkan oleh taufan Lan yang kini berada di selatan Jepun sedang bergerak ke utara dan mula menjauhi negara ini.

Keadaan tersebut telah menyebabkan wap air di ruang udara negara ini tertumpu ke kawasan taufan ber­kenaan lantas menyebabkan pertambahan suhu.

Ujar Noor Hisham, berdasarkan definisi Jabatan Meteorologi, suhu normal maksimum harian adalah antara 28.6 ke 35 darjah Celsius dan ketika ini, suhu maksimum Semenanjung Malaysia belum mencapai 35 darjah Celsius.

Namun begitu, katanya, orang ramai diingatkan supaya bersiap sedia serta mengambil tindakan sewajarnya bagi menghadapi situasi sekiranya cuaca semakin bertambah panas dan berterusan.

“Nasihat Kementerian Kesihatan bagi situasi ini boleh diperoleh daripada laman web kementerian.

“Kementerian juga sentiasa memantau situasi cuaca di Malaysia melalui laman web Jabatan Meteorologi di http://www.met.gov.my,” ujarnya. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com