Cipta Rekod 'Kolam Burung Merak' Terbesar


HOTEL Golden Sands Resort Pulau Pinang mencipta sejarah dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila membuat 'Kolam Burung Merak Terapung' terbesar di kolam renang hotel itu, kelmarin.

'Kolam' sebesar 638.02 meter persegi daripada empeng kelapa itu dibina 100 sukarelawan membabitkan kakitangan hotel, Persatuan Hindu Pulau Pinang dan pelajar kolej swasta.

Pengurus hotel, Noel D'Couto berkata, idea mencipta kolam terbesar sempena sambutan Deepavali dibuat sejak empat bulan lalu dengan membabitkan kos RM25,000.

Beliau berkata, 'kolam' burung merak yang mengambil masa 10 hari untuk disiapkan turut menggunakan 454,249 liter air kolam, 435kg kelapa kering, 37.9kg gam dan 120 keping 'styrofoam' untuk mengapungkannya.

"Selain itu 'kolam' itu menggunakan 15 kuntum bunga teratai dan 5,000 bunga hidup untuk menyiapkan lakaran imej burung merak gergasi dan logo rasmi hotel Shangri-La berbentuk S.

"Kami bangga apabila impian untuk mencipta sejarah buat pertama kalinya akhirnya menjadi kenyataan," katanya pada sidang media di sini, kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar MBOR, Mohamad Alex Edwards Jamu Abdullah; Timbalan Presiden Persatuan Hindu Pulau Pinang P Murugian; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism Ooi Chok Yan dan Pengurus Besar Hotel Golden Sands Resort, Elaine Yew.

Sementara itu, Mohamad Alex berkata, pengiktirafan itu diberikan sebagai tanda usahasama mencipta 'kolam' membabitkan pelbagai lapisan kaum termasuk pelancong asing.

Beliau berkata, sekalung perhargaan diberikan sebagai tanda perhubungan erat serta keharmonian pelbagai budaya dalam satu tujuan dan impian.

"MBOR secara rasminya mengiktiraf Hotel Golden Sands Resort Pulau Pinang dalam pembinaan 'kolam' terbesar dan terapung di dalam kolam renang," katanya.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com